JALAN berbukit, berdebu dan berselekoh antara cabaran ditempuhi Zamri.
Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my


Bermotosikal selama 54 hari merentasi 12 negara sejauh 18,000 kilometer (km) untuk menunaikan umrah boleh dianggap ‘misi gila’.

Namun, kepuasan yang diperoleh memang luar biasa dan meninggalkan kesan sangat mendalam kepada ahli perniagaan Datuk Zamri Mohamed.

Itulah antara pengalaman paling menakjubkan kepada Zamri, 52, sepanjang lebih 20 tahun membabitkan diri dengan ekspedisi bermotosikal. Sebab itulah, walaupun sudah lebih lima tahun ekspedisi itu berlalu, ia masih terpahat kukuh dalam ingatannya.

Malah, ketika bercerita mengenai pengalaman itu, beliau masih mampu mengimbau setiap detik dilalui.

“Saya menjelajah ke merata tempat sepanjang membabitkan diri dalam ekspedisi bermotosikal sama ada di Asia mahupun Eropah. Antaranya ke seluruh Borneo, bermotosikal dari Malaysia ke Istanbul, Turki dan juga pernah ke London.

“Saya juga memenuhi hajat bermotosikal mengelilingi dunia pada tahun 2013, namun kepuasan yang saya rasai ketika bermotosikal ke Makkah sukar diungkapkan. Bagi saya, inilah ekspedisi terbaik sepanjang pembabitan saya.

“Walaupun cabaran terlalu besar berbanding pengembaraan lain, saya rasa ibadah umrah yang dilakukan itu sangat bermakna.

“Memang jika difikirkan lebih mudah, selesa dan jimat masa serta kos, lebih baik saya naik kapal terbang untuk ke Makkah. Ramai termasuk ahli keluarga mempertikai rancangan saya bermotosikal ke Tanah Suci.

“Malah ada yang menganggapnya sebagai kerja gila. Ya, saya akui ini memang kerja gila kerana bukan saja sukar dan bahaya, malah memerlukan kos hampir RM100,000 untuk menjayakan ekspedisi itu

“Tapi, saya ada alasan sendiri. Kalau saya boleh bersusah payah bermotosikal menjelajah ke serata ceruk dunia, mengapa tidak melakukan pengorbanan sama ke Makkah?

“Apatah lagi, ini kali pertama saya menjejakkan kami ke bumi suci itu. Jadi, saya mahu jadikan ibadah umrah itu lebih bermakna dan akan dikenang seumur hidup,” kata Zamri.

Zamri berkata, beliau bersama beberapa rakan Nahrawi Marzoki, Mohd Khalid Ahmad, Zamran Ibrahim, Dr Fahmi, Arshad dan Jihad Mohd Nor, memulakan pengembaraan pada 17 Mei 2010.

Seperti dijangka, misi itu bukan mudah. Perjalanan bermula di Malaysia, merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turmenistan, Iran, Turki, Syria, Jordan dan akhirnya tiba di Arab Saudi memberi pelbagai cabaran.

Melalui jalan yang berliku-liku, berbukit bukau, berlopak, berpasir, berselut, gurun dan lembah antara cabaran yang ditempuhi mereka. Kesukaran itu ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, ada kalanya panas melampau, pada lain ketika sejuk mencengkam, bersalji serta ribut pasir, semua itu menguji kesabaran.

“Perjalanan merentasi Thailand dan Laos tidak menghadapi banyak kesukaran tapi cabaran sebenar bermula sebaik memasuki China yang mengambil masa 16 hari untuk merentasi negara itu ke Kyrgyzstan.

“Bermotosikal dari Yuan Jian ke Kumming contohnya, sukar kerana tiada jalan bertar menghubung kedua-dua daerah itu sepanjang 279km.

“Perjalanan dari Hami ke Korla,kemudian ke Aksu, seterusnya ke Kashi juga mencabar kerana terpaksa melalui kawasan Gurun Ghobi, antara gurun terpanjang di dunia yang memakan masa tiga hari,”katanya.

Namun, ia masih boleh dianggap cabaran kecil berbanding beberapa peristiwa yang menimpa mereka sepanjang kembara itu. Contohnya ketika dalam perjalanan dari Xining ke Ghouzhou, China, Zamri nyaris maut apabila terjatuh menggelongsor bersama motosikalnya di jalan raya.

“Ketika itu datang sebuah lori, nasib saya sempat bangun dan mengelak daripada dirempuh,” katanya.

Begitupun, ibu kepada segala cabaran yang kekal dalam ingatan Zamri ialah peristiwa dia serta dua rakannya ditawan sekumpulan lelaki ketika di Teheran, ibu negara Iran.

Mereka bukan sahaja dibawa ke tempat terpencil, malah diseksa antaranya digari, ditumbuk dan disepak.

Ketika muncung pistol diacukan ke kepalanya, Zamri hanya membayangkan maut bakal menjelma dan impiannya ke Tanah Suci Makkah akan bernoktah di situ.

Apabila dibebaskan, baru Zamri tahu dia ditawan perisik kerajaan yang mengesyaki mereka daripada kumpulan penentang presiden negara itu.

Walaupun terkesan dengan peristiwa itu, Zamri tidak pernah patah semangat untuk meneruskan misinya ke Tanah Suci. Selepas meninggalkan Iran dan memasuki Turki, Syria dan Jordan, perjalanan menjadi makin mudah dan menyeronokkan.

Menurut Zamri, segala keperitan, keletihan serta tekanan yang dilalui dalam perjalanan seakan-akan hilang begitu sahaja sebaik menjejakkan kaki ke Turki.

“Turki memang terkenal dengan ketamadunan Islam, antaranya bandar Urfa yang dibina Nabi Idris, malah ia dikenali sebagai bandar nabi kerana terdapat banyak jejak nabi di situ. Antaranya, tempat kelahiran Nabi Ibrahim AS serta makam Nabi Ayub dan Nabi Ilyasa.

“Kami juga menziarah makam pahlawan Islam Khalid Al-Walid di bandar Homs bersempadan dengan Jordan. Namun kenangan yang paling meninggalkan kesan mendalam kepada saya apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi suci Baitulmuqadis dan bersolat Jumaat bersama rakyat Palestin di dalam Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Sudah tentu kemuncak ekspedisi itu apabila mereka menjejakkan kaki ke Madinah dan seterusnya Makkah untuk menunaikan umrah. Sayu dan terharu melihat Masjid Nabawi, Masjidil Haram dan Kaabah di depan mata sehingga tidak sedar mengalir air mata.

“Saya juga bersyukur impian menziarah perkuburan Ma’la di tempat arwah ayah, Mohamaed Mat Amin disemadikan pada 1978 di Makkah turut dimakbulkan,” katanya.

Zamri merakamkan pengalaman perjalanannya itu dalam buku bertajuk ‘Kembara Umrah’ dengan setiap detik dilalui dicatat lebih lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 5:00 AM