MAHATHIR meninjau kedalam kereta Suprima S standard pada Disember 2014. FOTO fail NSTP
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PROTON Holdings Bhd, berkuat kuasa 30 Mac 2016.

Surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar, semalam.

Satu kenyataan dari pejabat Dr Mahathir dan disiarkan di blog beliau, "Che Det", turut menyatakan bahawa beliau telah melepaskan jawatannya sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada tarikh yang sama.

Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Rektor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim.

Di samping itu, menurut kenyataan tersebut, Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Penasihat kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Pembangunan Pulau Tioman (TIDA).

"Ketua Setiausaha Negara telah dimaklumkan mengenai peletakan jawatan ini," katanya.

Sementara itu, Proton dalam kenyataan berasingan berkata, Dr Mahathir juga akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi anak syarikat milik penuhnya, Group Lotus plc.

"Kami menghormati hasrat beliau untuk berundur. Kami ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga Penasihat sejak 2003.

"Kami mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 7:56 PM