Empat daripada lima ahli perniagaan yang direman. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


Putrajaya: Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan lima ahli perniagaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan dokumen bagi mendapatkan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) membabitkan dana berjumlah RM2.5 juta.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Ishafanie Tasnim Ab Rahman.

Kelima-lima lelaki berusia 38 hingga 48 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi di sekitar Lembah Kelang.

Jurucakap SPRM berkata, kelima-lima lelaki itu dipercayai memalsukan beberapa dokumen bagi mendapatkan pinjaman daripada agensi berkenaan bermula dari RM200,000 sehingga RM300,000 untuk setiap pinjaman.

"Sindiket berkenaan dipercayai menyeleweng dana wang pembiayaan dan memalsukan dokumen sokongan permohonan pembiayaan perniagaan menyebabkan MARA terpaksa menanggung kerugian yang sepatutnya disalurkan kepada pihak yang sepatutnya," katanya.

Katanya, keuntungan yang diperolehi daripada penyelewengan itu mencecah sehingga RM2.5 juta.

Difahamkan, pinjaman yang dipohon itu kononnya digunakan untuk memperbesarkan perniagaan namun, ia sebaliknya digunakan untuk tujuan lain.

Turut disita adalah sebuah pacuan empat roda Ford Ranger dan motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:25 AM