Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (RTMPB) menerusi kerjasama strategik dengan CJ O Shopping Co Ltd meneroka segmen perniagaan baharu iaitu perniagaan secara dalam talian, CJ WOW SHOP yakin menjadi platform beli-belah atas talian pilihan utama rakyat Malaysia yang inginkan pengalaman beli-belah lebih santai.

CJ WOW SHOP yang bakal ke udara pada 1 April 2016 iaitu bermula esok akan bersiaran selama lebih 16 jam di empat saluran RTMPB iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9 mengikut waktu siaran berbeza pada setiap hari serta boleh dihubungi menerusi talian bebas 1800180808 untuk membuat tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif RTMPB Datuk Kamal Khalid berkata, CJ WOW SHOP akan menawarkan koleksi barangan dan produk meliputi segmen fesyen, kecantikan, barangan rumah dan gajet serta pada awal kemunculannya, 30 produk disediakan sebagai pilihan.

“Apa yang menarik dan membezakan CJ WOW SHOP dengan platform atas talian lain ialah kami menawarkan barangan eksklusif dan jenama antarabangsa yang tiada dalam pasaran biasa. Jadi ia akan menjadi kelebihan kepada orang ramai memiliki barangan diidamkan dengan tawaran harga berpatutan.

“Kami akan memastikan kualiti barangan disediakan pada tahap memuaskan pelanggan, sekali gus meningkatkan perhatian orang ramai dan pembeli dari semasa ke semasa. Orang ramai juga boleh muat turun aplikasi CJ WOW SHOP di Google Play Store atau Apple App Store,” katanya.

Platform beli-belah dalam talian berkenaan adalah kerjasama strategik dengan pakar beli-belah antarabangsa dari Korea Selatan serta menempa kejayaan cemerlang di 10 negara di seluruh dunia.

Mengulas mengenai jangkaan jualan bagi CJ WOW SHOP bagi tempoh setahun pengendaliannya, Kamal berkata, pihaknya optimis meraih jualan kira-kira RM100 juta hingga RM150 juta menjelang suku pertama 2017.

“Malah, sebagai kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, kami mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian saluran, kepakaran kandungan serta pengalaman dalam bidang penyiaran bagi merealisasikan jangkaan berkenaan.

“Kelebihan ini juga boleh dimanfaatkan untuk meneroka hasil perniagaan baharu di samping terus menawarkan nilai berterusan bagi audiens dan jenama syarikat mahupun pengiklan,” katanya.

Katanya, potensi pasaran menggalakkan kerana saiz pasaran dijangka berkembang sehingga RM3.96 bilion pada 2016 dengan peningkatan 18.03 peratus hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 7:03 AM