Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Teksi yang usang serta tambang tidak menentu menjadi alasan pengguna agak resah menggunakan perkhidmatan teksi, antara punca perkhidmatan teksi alternatif termasuk Uber dan GrabCar semakin menjadi pilihan orang ramai hingga mencetuskan kemarahan pemandu teksi biasa.

Penuntut kolej swasta, Salfi Elfin Yeunos, 18, berkata walaupun berpuas hati dengan perkhidmatan teksi setakat ini namun ada beberapa perkara perlu ditambah baik.

"Teksi di sini bagus tetapi kadang-kadang mereka tidak menggunakan meter dan kenakan tambang mahal.

"Selain itu, kereta yang mereka gunakan sebagai teksi juga sudah usang, perlu diganti," katanya ketika ditemui di Jalan Bukit Bintang.

Bagi eksekutif syarikat minyak dan gas, Sialimar Idris, 29, dia kurang berpuas hati dengan sesetengah pemandu teksi.

"Tidak semua pemandu teksi 'OK' sebab kadang-kadang saya tahu jalan, contoh untuk ke Pandan tapi mereka bawa saya pusing-pusing.

"Sepatutnya tambang sekitar RM15 tetapi bila pusing-pusing boleh cecah lebih RM20," katanya.

Pelancong Australia yang mahu dikenali sebagai Cameron, 34, berpendapat teksi bandar yang berwarna merah putih menawarkan tambang lebih rendah dan selesa.

"Semuanya bagus cuma kadangkala kereta yang digunakan sudah agak usang.

"Kalau saya mahu ke lapangan terbang, teksi lain kenakan RM170 tapi teksi bandar cuma RM110," katanya.

Pelancong Iraq, Mohamed Absadar, 39, berpandangan sebaliknya kerana dia lebih berpuas hati dengan teksi premium yang berwarna biru.

"Pertama kali naik teksi merah putih, saya jadi takut kerana pemandunya menipu harga tambang.

"Harga dia tawarkan berbeza-beza. Mula-mula RM20, kemudian RM40 berbanding teksi berwarna biru yang lebuh jujur kerana menggunakan meter," katanya.

Mereka ditemui tengah hari tadi, iaitu 24 jam selepas lebih 300 pemandu teksi mengadakan protes yang melumpuhkan kawasan Bukit Bintang apabila teksi yang diletak di atas jalan raya, menghalang laluan dari 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Seorang pemandu teksi yang enggan dikenali berkata, dia semakin tertekan kerana terpaksa menanggung kos tinggi sebagai pemandu teksi.

"Saya perlu bayar ansuran teksi RM1,500 sebulan kepada syarikat. Sepatutnya kami hanya perlu bayar terus kepada bank, jadi ansuran akan lebih rendah.

"Kini kami terpaksa bersaing dengan Uber dan GrabCar. Mahu atau tidak, saya terpaksa tidak menggunakan meter kerana mahu cari wang lebih," katanya.

Susulan protes itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Bumiputra (PERBUMI) Datuk Mohd Alias Abdul mahu kerajaan mengambil langkah segera menyelesaikan isu teksi Uber dan GrabCar

"Persatuan memang tidak bersetuju dengan Uber dan GrabCar kerana mereka tidak tertakluk dengan syarat seperti yang dikenakan kepada pemandu teksi.

"Isu ini sudah lama dan saya harap pihak berkaitan dapat selesaikan segera supaya kejadian seperti protes di Bukit Bintang tidak berulang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan protes itu itu kerana ia memberi gambaran kurang baik kepada pemandu teksi lain sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:09 PM
Pelancong Australia, Cameron, 34, (kanan) dan pelancong Iraq, Mohamed Absadar, 39, (kiri).
Teksi beroperasi seperti biasa di kawasan Bukit Bintang selepas lebih 300 pemandu teksi mengadakan protes dengan meletak teksi di atas jalan raya, menghalang laluan semalam.