ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka, Jabatan Pendaftaran Negara dan Agensi Antidadah Kebangsaan melakukan pemeriksaan. FOTO Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Enam puluh enam pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua lelaki tempatan ditahan dalam Ops Bersepadu diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, pagi tadi.

Dalam operasi bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri itu, serbuan dibuat di dua lokasi iaitu tapak binaan di Taman Perindustrian Cheng dan Bachang, di sini.

Penolong Pengarah Kanan JIM negeri Mohamed Lamsah Othman berkata, 106 individu diperiksa dalam operasi itu.

"Kita menahan 31 lelaki Bangladesh, 12 lelaki dan seoran wanita Indonesia, 11 lelaki Myanmar, lima lelaki Pakistan dan Filipina, empat lelaki Myanmar, seorang lelaki Nepal dan dua lelaki tempatan.

"PATI yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Perkara 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas atau permit dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di negara ini tanpa permit sah.

"Manakala dua lelaki tempatan pula ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja satu atau lebih selain warga negara atau pemegang permit sah," kata Mohamed Lamsah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 6:23 PM