BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh akhir bagi mengemukakan borang nyata cukai pendapatan individu (BE) menerusi e-Filing bagi tahun taksiran 2015 sehingga 15 Mei ini.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata lanjutan tempoh itu bertujuan menggalakkan pembayar cukai menggunakan sistem berkenaan bagi mengemukakan borang.

Bagaimanapun, individu yang mengemukakan borang BE secara manual perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 30 April ini, katanya.

"LHDN menasihatkan pembayar cukai mengemukakan borang nyata cukai pendapatan mereka. Jangan tunggu hingga saat akhir terutama bagi yang mempunyai cukai terlebih bayar.

"Jika mereka isi segera, kita boleh proses segera dan membayar balik mereka. Bagi yang hantar e-Filing, bayaran balik adalah lebih cepat berbanding yang hantar (borang) secara manual. Jadi, buatlah pilihan yang bijak," katanya hari ini.

Setakat pagi ini, LHDN menerima 685,430 borang BE menerusi e-Filing dengan peningkatan 13.07 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Masrun menganggarkan kira-kira dua juta individu akan mengemukakan borang BE tahun ini.

Menurutnya, pembayar cukai boleh mengemukakan borang BE melalui aplikasi mobile filing (m-Filing) menggunakan telefon pintar atau tablet.

"Tahap keselamatan sistem itu sama seperti e-Filing, kata laluan yang sama, sekuriti yang sama. Ia mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga kini dengan 12,979 borang diterima berbanding 768 dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ini mungkin kerana promosi berterusan menerusi media sosial dan semakin ramai pembayar cukai tahu mengenai m-Filing kerana ia lebih mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 5:23 PM