Bot pemancing TFA 1382 kelas A (tengah) yang rosak, ditunda ke Jabatan Perikanan Tawang, Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Bachok: Tekong dan dua pembantu bot pemancing TFA 1382 kelas A yang gagal dikesan sejak Sabtu lalu, selepas keluar memancing di pelantar minyak Lawit, tiba di Jabatan Perikanan Tawang jam 2.30 petang tadi.

Tekong bot, Ramli Yusof, 49, bersyukur kerana semua kru dan pemancing tiba dengan selamat.

Katanya, masalah bermula apabila enjin bot mereka rosak pada jam 12 tengah hari Sabtu lalu.

"Sebaik bot rosak, kami berhenti memancing dan cuba minta bantuan daripada bot nelayan Vietnam, namun mereka tidak membantu.

"Saya juga cuba menghubungi rakan-rakan di daratan tetapi tidak berjaya. Semua pemancing risau, namun saya dan rakan-rakan cuba menenangkan mereka dan menghanyutkan bot ke kawasan lebih selamat ekoran ombak yang besar membahayakan nyawa kami," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, pada 6 petang semalam, dia berjaya menghubungi rakan di daratan melalui radio amatur sebelum diselamatkan.

Harian Metro melaporkan seramai lapan pemancing bersama seorang tekong dan dua pembantu bot dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka gagal dikesan Sabtu lalu.

Mereka ditemui selamat oleh bot penyelamat 7 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) jam 10.25 malam semalam, di 30 batu nautika timur laut Pantai Kemasin, Bachok.

Lapan pemancing itu selamat tiba di jeti Maritim Tok Bali pada jam 1.30 pagi tadi.

Keterangan gambar:

BOT TFA 1382 kelas A yang ditunda tiba di Jabatan Perikanan Tawang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 4:11 PM