DARI kiri Man, Shah, Zamani, Ajak dan Lily kembali bergabung demi peminat.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Masih terbayang kehebatan kumpulan Slam ketika mereka beraksi dalam Konsert Grand Slam Unplugged di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 1996.

Konsert yang berlangsung ketika seluruh negara bergelap kerana bekalan elektrik terputus itu meninggalkan impak besar buat Slam yang dianggotai Zamani (penyanyi), Shah (gitar), Ajak (gitar), Lily (bass), Eddie (keyboard) dan Man (dram).

Rentetan kejayaan yang dikecapi berjaya melonjakkan nama Slam sebagai kumpulan paling berpengaruh ketika itu dan diterima sehingga ke Indonesia.

Berdepan pelbagai evolusi muzik dan selepas 20 tahun, Slam kembali bergabung dalam Konsert Kurnia Slam yang akan berlangsung di Star Xpo Centre, Kenanga Wholesale City, Kuala Lumpur pada 14 Mei nanti bagi mengubati kerinduan peminat.

Slam yang ditubuhkan sejak 1992 ini melahirkan keyakinan untuk kembali menghiburkan peminat dengan barisan lagu popular mereka antaranya Tak Mungkin Berpaling, Kembali Terjalin, Nur Kasih, Gerimis Mengundang dan banyak lagi.

Shah berkata, idea untuk mengadakan konsert ini sudah difikirkan sejak 2014 dan baru sekarang mereka berjaya menjadikannya satu kenyataan.

“Kami pernah tampil bersama dalam Konsert Slam Kembali Merindu Live In Singapura empat tahun lalu dan sambutan yang diterima daripada peminat di sana amat menggalakkan. Ini mencetuskan semangat untuk Slam beraksi di depan peminat Malaysia pula.

“Sudah tentunya peminat setia Slam ternanti-nanti khabar gembira ini dan kami berjanji akan buat yang terbaik bagi membalas kesetiaan mereka terhadap Slam. Biarpun lokasi konsert ini agak sederhana dan hanya mampu memuatkan sekitar 7,000 penonton, kami anggap ini sebuah konsert berskala besar,”katanya.

Konsert Kurnia Slam dijangka berlangsung selama tiga jam dan Slam membayangkan mereka akan menghiburkan peminat dengan rangkaian 25 lagu popular yang menjadi siulan ramai.

“Sebelum ini kami pernah muncul dalam Anugerah MeleTop ERA 2016, namun ia hanya sekejap dan peminat tak puas. Latihan yang dibuat juga sekitar dua minggu. Untuk konsert ini, kami akan ambil masa selama sebulan setengah untuk buat persiapan secukupnya. Saya sendiri sudah senaraikan lagu-lagu yang sering jadi permintaan peminat bagi dinyanyikan nanti.

“Saya juga terfikir untuk mengundang artis baru yang membesar dengan lagu Slam untuk menyanyi pada konsert ini. Kami juga berani muncul semula apabila melihatkan Wings dan Search berjaya dengan konsert mereka.

“Justeru kami mengharapkan perkara serupa akan berlaku pada Slam. Ketika di Singapura, ada peminat yang turut sama membawa anak menonton konsert kami. Diharapkan peminat Malaysia juga begitu. Umur bukan isu untuk datang menonton,” katanya yang turut melahirkan hasrat menghasilkan single terbaru Slam.

Dalam pada itu, Zamani pula menganggap apa yang berlaku ibarat sirih pulang ke gagang.

Katanya, konsert ini bakal menutup mulut segelintir pihak yang menganggap dirinya dan anggota Slam berdepan krisis dalaman.

“Selama ini memang ada spekulasi bertebaran mengenai perkara ini. Perkara itu memang tak betul. Kami masih menjayakan persembahan bersama sekiranya ada tawaran yang datang. Sedikit sebanyak kami dapat cari makan dalam bidang seni.

“Cuma, saya kena bergerak solo sementara menanti persembahahan dengan Slam. Saya nak peminat datang beramai-ramai dan berhibur. Sebelum ini kami tiada peluang untuk bersama. Saya juga berjanji memberikan komitmen sepenuhnya dan akan selesaikan segala masalah sesama anggota.

“Diakui menyanyikan lebih daripada 20 buah lagu adalah satu cabaran berat. Saya tiada amalkan rahsia tertentu. Cuma saya kena buat latihan yang cukup untuk kembali mendapatkan keyakinan seperti dahulu,” katanya.

Konsert anjuran Urban Creative Synergy (UCS) Sdn Bhd ini dibahagikan kepada beberapa kategori tiket iaitu RM88, RM158, RM198 dan RM399. Tiket boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:22 PM