POTRET Cruyff di padang Arena Amsterdam.

London: Mendiang Johan Cruyff kekal sebagai pemain legenda sekalipun dalam kalangan pemain di negaranya yang tidak pernah menonton aksi permainannya, ujar pertahanan Belanda Daley Blind kelmarin.

Cruyff meninggal dunia kerana kanser paru-paru pada usia 68 tahun minggu lalu dan diperingati pada minit ke-14 aksi persahabatan Belanda menentang England awal pagi tadi, merujuk kepada nombor jersinya manakala imejnya dipamerkan di skrin gergasi Wembley.

Kapten Belanda Blind dilahirkan enam tahun selepas Cruyff bermain aksi terakhirnya namun pemain Manchester United berusia 26 tahun itu berkata, bayangan bekas bintang Ajax dan Barcelona itu sentiasa menjelma.

“Jelas beliau seorang daripada pemain terhebat bola sepak, bukan saja di Belanda malah juga dunia,” kata Blind.

“Generasi kami sudah tentu lebih banyak mengenalinya menerusi pita rakaman, tapi saya fikir setiap pemain muda kenal siapa Johan Cruyff dan apa yang dilakukannya.

“Itulah perkara paling penting. Setiap orang mempunyai memori istimewa mengenainya. Beliau tetap seorang legenda, terutama bagi generasi saya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:13 AM