Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


Pasir Puteh: Lapan pemancing, seorang tekong serta dua pembantunya yang hilang selepas keluar memancing ditemui selamat, 10.25 malam tadi.

Mereka ditemui sepasukan Anggota Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang meronda dengan bot Penyelamat 7, kira-kira 30 batu nautika dari timur laut Pantai Kemasin, Bachok.

Difahamkan, bot dinaiki semua mangsa mengalami kerosakan enjin ketika dalam perjalanan pulang dari lokasi memancing di pelantar minyak Lawit.

Lapan pemancing kemudian dipindahkan ke bot Penyelamat 7 untuk dibawa ke Jeti Maritim Tok Bali, di sini pada 11.05 malam

Mereka tiba 1.30 pagi tadi dan disambut lebih 100 ahli keluarga dan rakan yang berkumpul di pekarangan jeti berkenaan.

Sementara itu, tekong dan dua pembantunya menunggu di bot dalam keadaan bersauh sehingga ditunda ke Jeti Kemasin, Bachok dijangka pagi ini.

Kira-kira 4 petang Jumaat lalu, semua mangsa ke laut dari Pengkalan Petah, Bachok sebelum gagal dihubungi sejak Sabtu.

Seorang daripada lapan pemancing yang terselamat, Zakaria Kadir, 54, berkata, tindakan menghanyutkan bot adalah langkah terbaik yang boleh difikirkan mereka ketika itu.

"Hanya dengan hanyutkan bot sahaja boleh selamatkan kami," katanya yang mewakili rakannya.

Bot nelayan kelas A itu disewa mereka untuk memancing di pelantar minyak Lawit, 65 batu nautika dari Pantai Kemasin, Bachok.

"Cuaca tidak elok ketika kami tiba di sana (pelantar minyak Lawit) pada 11 pagi Sabtu dan kami terpaksa pulang apabila keadaan laut semakin bergelora.

"Ketika perjalanan sejauh 15 kilometer, enjin bot mula berasap dan lama kelamaan tidak dapat dihidupkan. Di situ tiada isyarat telekomunikasi dan radio komunikasi nelayan juga tidak menerima sebarang signal.

"Disebabkan itu, kami berpendapat lebih baik hanyut untuk mencari isyarat daripada bersauh dan terus kekal di kawasan itu," katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Tok Bali di sini.

Bagaimanapun Zakaria memberitahu, nasib mereka baik apabila ditemui pasukan bot Penyelamat 7 APMM yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Senarai nama:

- Pemancing, Pendi En Husin @ Loh Seng, 37

- Pemancing, Zakaria Kadir, 54

- Pemancing, Mohd Suhaimi Abdul Kadir @ Ghazali, 34

- Pemancing, Nik Mohd Shukri bin Nik Mustafa, 49

- Pemancing, Mohd Zaidi E, 30

- Pemancing, Mohd Shariful Aidi Zakaria, 31

- Pemancing, Mohd Zaidi bin Yaacob, 41

- Pemancing, Suhaimi bin Mat Jusoh, 33

- Tekong bot, Ramli Yusof, 50-an

- Pembantu tekong, Mohd Yakob Taib, 62

- Pembantu tekong, Mohd Fauzi, 40

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 3:23 AM
NIK Mohd Shukri (tengah) bersama ahli keluarga. FOTO Maiamalina Mohamed Amin
NIK Mohd Shukri (tengah) bersama ahli keluarga. FOTO Maiamalina Mohamed Amin
NIK Mohd Shukri (tengah) bersama ahli keluarga. FOTO Maiamalina Mohamed Amin