MANGSA cedera di muka selepas terbabit kemalangan dengan lembu yang melintas jalan. FOTO ihsan pembaca
Nur Syazwana Mansor
am@hmetro.com.my


Gurun: Seorang lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lembu yang melintas jalan secara tiba-tiba di Batu 8 Jalan Jeniang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, mangsa, 20-an yang menunggang motosikal itu gagal mengelak sebaik tiba di lokasi kejadian dan terus melanggar lembu itu menyebabkan dia mengalami kecederaan di muka.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, ketika kejadian itu mangsa datang dari arah Gurun ke Jeniang sebelum terbabit kemalangan itu.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menerima rawatan.

“Lembu terbabit mati di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 3:38 PM