8,000 setia berhibur sehingga konsert berakhir biarpun keadaan sesak dan panas.

Lebih menarik, konsert malam kelmarin juga diadakan sempena ulang tahun ke-20 SO7 yang ditubuhkan pada 1996.

Tampil di pentas pada jam 9.45 malam, suasana kian hangat apabila penonton mula menjerit dan berteriak nama keempat-empat pemuzik berbakat itu.

Memulakan persembahan dengan lagu Pria Terhebat suasana kian dihangat­kan lagi dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Jap, Sahabat Sejati, Hari Bersamanya, Pemuja Rahsia, Yang Terlewatkan, Bila Kau Tak Di Sampingku, Tanyaku, Kita dan Tunjuk Satu Bintang.

Tidak hanya itu, SO7 juga mempersembahkan lagu-lagu seperti Percayakan Padaku, Seberapa Pantas, Hujan Turun, Pede, Lapang Dada dan Melompat Lebih Tinggi.

Mereka turut menyampaikan medley lagu Sephia dan Betapa, Kau Kini Ada dan Pria Kesepian serta Dan dan Sebuah Kisah Klasik.

Dapat dilihat apabila lagu popular mereka dinyanyikan pasti penonton berteriak dan turut bersama menyanyikan lagu berkenaan.

Nyata kelewatan menanti kemunculan mereka di pentas sedikit pun tidak mematahkan semangat penonton untuk terus setia sehingga konsert berakhir biarpun dalam keadaan sesak dan panas.

Penutup lagu Sebuah Kisah Klasik tidak memberi peluang kepada penonton untuk terus menyaksikan konsert SO7 berikutan itu adalah lagu terakhir dan menandakan mereka perlu meninggalkan pentas.

Terharu dengan sambutan penonton di dewan konsert, pastinya S07 berharap diberi peluang hadir ke sini lagi mengadakan konsert.

Terdahulu, pentas dibuka dengan persembahan Noh Hujan yang diiringi Restoe Ibu Band.

Noh yang mendendangkan lagu-lagu seperti Musim Ujan, Aku Skandal, Gelung, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga turut berduet dengan penyanyi Nadira Adnan menerusi lagu Sang Penikam.

Nadira turut menyanyikan single barunya berjudul Isi Hati.

Hadir sama menonton konsert berkenaan ialah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datin Seri Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini yang juga isteri kepada Menteri Wilayah Perseketuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 12:14 PM