ASKAR Syria meronda jalan di dalam bandar Palmyra.

Beirut: Tentera kerajaan Syria dibantu serangan udara Russia menentang saki-baki militan Daish di sekitar Palmyra, semalam dan cuba menawan beberapa lokasi berhampiran.

Kejayaan tentera menawan semula bandar purba itu, kelmarin tamparan hebat kepada Daish yang mengisytiharkan pemerintahan khalifah di sebahagian besar Syria dan Iraq pada 2014.

Tentera Syria berkata, Palmyra menjadi lokasi pelancaran operasi terhadap kubu kuat kumpulan itu di Raqqa dan Deir al-Zor serta wilayah di timur bandar itu.

Skuad bom juga berusaha membuang periuk api dan letupan ditinggalkan Daish di sekitar Palmyra termasuk kawasan perumahan dan bersejarah.

Media rasmi Syria melaporkan, lapangan terbang tentera di Palmyra dibuka semula selepas kawasan sekitarnya bebas daripada militan Daish.

Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, masih ada pertempuran antara kumpulan bersenjata prokerajaan dengan militan Daish di timur laut Palmyra selain beberapa serangan udara dipercayai pesawat Russia menyasarkan jalan merentasi Palmyra ke Deir al-Zor.

Katanya, walaupun kebanyakan militan Daish meninggalkan Palmyra, masih ada segelintir yang tinggal.

Enam letupan berlaku kelmarin akibat tiga bom kereta manakala tiga pengebom berani mati meletupkan diri menyebabkan ada askar kerajaan terbunuh.

Stesen televisyen Syria menyiarkan rakaman dari dalam Palmyra, menunjukkan jalan raya kosong dan bangunan rosak teruk.

Sementara itu, pakar antikuiti Syria menyuarakan rasa terkejut dengan kerosakan di Muzium Palmyra dengan puluhan barangan peninggalan sejarah musnah.

Ketua Antikuiti dan Muzium Syria Maamoun Abdul-Karim berkata, pihaknya akan menghantar wakil membuat anggaran kerosakan, sebaik skuad bom selesai membuang semua letupan ditinggalkan Daish.

Sepanjang menawan Palmyra, Daish memusnahkan artifak dan tugu purba termasuk dua kuil besar berusia lebih 1,800 tahun dan pintu gerbang dari era pemerintahan Rom.

Puluhan orang terbunuh termasuk pengarah arkeologi Riad al-Assad, 81, Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 11:15 AM