LOKASI pemancing turun ke laut di Pengkalan Petah, Bachok. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Bachok: Seramai lapan pemancing bersama tiga tekong bot dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaikinya di Pengkalan Petah, di sini, gagal dikesan sejak petang semalam.

Pemilik bot, Affendi Hussin, 36, berkata, lapan pemancing bersama tiga tekong itu keluar pada jam 4 petang menuju ke pelantar minyak Lawit yang mengambil masa lapan jam perjalanan.

Katanya, sepatutnya mereka pulang pada petang semalam, namun tidak tiba di Pengkalan Petah.

"Berikutan itu, saya membuat laporan polis petang semalam untuk memaklumkan kehilangan mereka.

"Kami juga akan cuba membantu untuk mencari mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan bot pemancing TFA 1382 kelas A, semalam, yang membawa lapan pemancing bersama tiga krew bot.

Katanya, mereka tidak dapat dihubungi sejak Sabtu lalu.

"Susulan itu, kita menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 11:03 AM