KUMPULAN Indonesia, Papinka turut meriahkan konsert di Setia Alam.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Selepas menjelajah di tiga lokasi, siri Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro diteruskan dengan acara kemuncaknya iaitu Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Setia City Park, Setia Alam, pada 2 April ini mulai jam 8 malam.

Konsert terbabit bakal menampilkan nama besar dalam industri muzik tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana dan Ezad Lazim.

Turut membuat persembahan Ayda Jebat, Ronnie Hussein, Drama Band, Tasha Manshahar & Syed Shamim dan Shiha Mentor. Lebih menarik, konsert itu juga bakal dihangatkan dengan persembahan kumpulan popular Indonesia, Papinka.

Dayang, 35, berkata, pembabitannya dalam konsert ini satu penghormatan untuknya selepas 20 tahun bergelar penyanyi.

“Walaupun sebelum ini Harian Metro sudah dua kali mengadakan konsert berskala besar, tetapi ini pembabitan pertama saya. Istimewanya, konsert ini diadakan sempena me­nyambut ulang tahun ke-25.

“Sebagai penyanyi tentu saja saya berasa bangga dan berbesar hati apabila dipilih bagi sama-sama memeriahkan acara ini,” katanya.

Menurut Dayang, dia tidak mengambil masa lama untuk memberikan jawapan memandangkan program sebegini jarang-jarang diadakan.

Apatah lagi, menyanyi pada konsert terbuka membuka ruang untuknya lebih mendekati peminat yang sudah banyak me­nyokong kerjaya seninya.

“Saya memang suka menghiburkan peminat pada acara konsert. Bukan apa, kebanyakan mereka tidak berpeluang me­nyaksikan persembahan saya yang membabitkan penjualan tiket,” katanya yang akan menyanyikan lagu ‘berhantunya’, Di Pintu Syurga.

Bagi penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Terima Kasih Cinta, Tasha Manshahar, 24, meluahkan rasa gementar untuk beraksi di hadapan ramai penonton nanti.

“Ini kali pertama saya terbabit dalam persembahan berskala besar. Justeru, saya sudah mempersiapkan diri dengan latihan vokal dan stamina. Saya tidak mahu mengecewakan peminat yang hadir,” katanya.

Pada masa sama, bakal guru Bahasa Inggeris ini terharu apabila dapat berkongsi pentas dengan barisan penyanyi hebat lain.

“Rasa kerdil sangat apabila melihat barisan penyanyi yang ada. Berbanding saya yang masih hijau, saya berasa cukup bertuah dan beruntung. Ini peluang terbaik untuk saya belajar daripada mereka terutama ketika berinteraksi dengan penonton. Bukan apa, menyanyi secara ‘live’ pada acara konsert jauh berbeza daripada persembahan lain,” katanya.

Pada malam itu nanti, Tasha bakal menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta dan Ragu-Ragu duet bersama Syed Shamim.

Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro juga menampilkan pasangan pengacara popular, Sherry Alhadad dan AG Kool FM sebagai pengacara.

Selain penganjuran konsert, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang dua hari karnival berlangsung antaranya Zumba Metro, Ejector Trampoline, karaoke, peraduan di Instagram, pertandingan gusti lengan dan permainan kereta kawalan jauh.

Terdapat juga aktiviti untuk kanak-kanak seperti buih sabun gergasi, ‘sand art’ dan pertandingan mewarna.

Pengunjung juga boleh menjamu selera di 25 trak makanan yang menjual pelbagai jenis makanan seperti rojak, cendol, nasi lemak, burger dan char kuetiau.

Sebelum ini konsert jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah; Dataran Tanjung Emas, Muar dan Padang MPK 3, Kuantan.

Meneruskan siri jelajah ini, Harian Metro bakal menggegarkan Fan City Mall, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 April ini dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak (23 dan 24 April).

Acara ini turut dijayakan bersama rakan penaja, Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, air mineral semula jadi Cactus, Unilever Food Solutions,

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 12:31 PM