SEKUMPULAN nelayan dari Vietnam yang ditahan TLDM. FOTO ihsan TLDM
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my


Kuantan: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semalam, mematahkan cubaan sekumpulan 17 nelayan warga Vietnam kerana mahu mencuri khazanah dalam kapal perang British yang karam di perairan negeri ini, pada Perang Dunia Kedua.

Dua kapal perang berkenaan adalah HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales.

Markas Wilayah Laut Satu TLDM dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat daripada Persatuan Nelayan Pahang yang disampaikan dalam satu program khas bersama pihaknya, minggu lalu.

"Aktiviti penyelaman haram oleh nelayan asing di perairan sekitar 60 batu nautika dari Tanjung Gelang itu dipatahkan oleh KD Perkasa yang dalam pelayaran pulang selepas tamat latihan Malindo Jaya, kira-kira jam 6.45 pagi.

"KD Perkasa menahan sebuah bot nelayan diubahsuai menjadi bot penyelam dan 17 kru rakyat Vietnam berada di atasnya.

"Sebahagian daripadanya sedang menyelam di dasar laut dipercayai untuk mengambil tinggalan dalam kapal perang itu," katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua kru kapal itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dibawa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:15 PM