PENGEMIS membawa kanak-kanak untuk meminta sedekah di Jakarta.

Jakarta: Dua orang lagi menghadapi tuduhan memaksa puluhan kanak-kanak mengemis, termasuk menggunakan seorang bayi berusia enam bulan yang sering diberikan sedatif dalam dos yang tinggi.

Polis berkata, penyiasat menahan pasangan muda berusia 17 dan 18 tahun kelmarin di Jakarta Selatan kelmarin selepas mereka membawa kanak-kanak berusia enam bulan itu bersama mereka untuk mengemis.

Ketua polis daerah, Wahyu Hadiningrat berkata, mereka memberikan bayi itu sedatif supaya kanak-kanak itu sentiasa tenang ketika pasangan itu mengemis.

“Kami serahkan kanak-kanak itu kepada pihak hospital sementara pasangan berkenaan ditahan untuk disoal siasat dan didakwa di mahkamah,” katanya.

Menurut Wahyu, pasangan berkenaan mendakwa sudah berkahwin tetapi gagal menunjukkan sebarang dokumen sebagai bukti.

Tindakan menahan pasangan berkenaan dilakukan sehari selepas penyiasat menahan dua wanita berusia 43 dan 35 tahun, juga di Jakarta Selatan, bersama-sama 17 kanak-kanak berumur antara lima dan enam tahun.

Hasil siasatan menunjukkan seorang daripada wanita itu ibu kepada beberapa kanak-kanak berkenaan yang dipaksa mengemis setiap hari, dari pagi hingga ke petang.

“Kanak-kanak berkenaan akan dipukul dan tidak diberi makan sekiranya enggan menuruti perintah wanita itu,” kata polis.

Sebelum ini, enam orang dewasa ditahan kerana terbabit memaksa kanak-kanak mengemis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 11:04 AM