NORHAYATI (tengah) gambira dengan panahannya.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pencapaian membanggakan pemanah compound negara pada siri pertama Piala Asia menjanjikan lebih banyak kejayaan mampu diraih mereka tahun ini.

Ketika pemanah recurve pulang dengan tangan kosong dari Thailand, pemanah compound negara memastikan satu emas, satu perak dan satu gangsa diraih.

Bagi pemanah wanita negara Norhayati Al-madihah Hashim kejayaan meraih emas dalam acara berpasukan di pentas Asia memberikan motivasi besar kepadanya untuk terus melakar kejayaan.

“Kejayaan ini dicapai tanpa disangka kerana ia penampilan pertama di pentas antarabangsa tahun ini. Ia membantu kami untuk terus fokus menghadapi kejohanan lebih besar terutamanya Piala Dunia di China bulan depan.

Gandingannya bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Cham Ning yang sering melakar kejayaan tahun lalu terus menggegar apabila berjaya meraih emas menewaskan Filipina pada aksi final.

“Sekarang kami diserapkan dalam program Kita Juara, jadi kami boleh menjalani latihan sepenuh masa berbanding separuh masa sebelum ini.

“Jadual dan program latihan kami sama dengan pemanah recurve. Kami dapat berkumpul bersama untuk menjalani latihan lebih tersusun,” jelasnya.

Pemanah compound lelaki negara Juwaidi Mazuki turut mengakui perubahan dirinya sejak diserapkan ke program Kita Juara tahun lalu.

“Saya merasai perubahan dengan sistem latihan lebih sistematik. Malah dipantau ketua jurulatih negara Lee Jae Hyung pada sesi latihan.

“Saya harap kecemerlangan ini berterusan pada kejohanan sepanjang tahun ini,” katanya.

Pemanah berusia 26 tahun itu meraih pingat gangsa dalam acara individu dan perak berpasukan di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 10:13 AM