KENTANG tahan lama.
TOMATO yang dipotong harus terus dimasak.
SAYURAN hijau tinggi khasiatnya.
SIMPAN sayuran di tempat yang betul.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Tanpa sedar ramai melakukan kesalahan dalam memilih, menyimpan atau memasak sayur-sayuran sedangkan kesilapan ini boleh mengurangkan nutrisi dan kelazatan rasanya. Sangat rugi sekiranya makanan sudah dimasak namun kandungan nutrisinya sudah hilang akibat kelalaian kita dalam memilih, menyimpan dan memasak sayuran dengan baik.

Terdapat banyak manfaat daripada sayur-sayuran yang sudah dimasak. Tambahan pula dalam menu harian terutama hidangan tengah hari dan malam, sayuran antara menu wajib ada sebagai pembuka selera.

Sayuran boleh dimasak secara berkuah, ditumis, direbus, dikukus atau dimakan mentah sebagai ulam-ulaman. Sayuran yang dimakan mengandung mineral yang diperlukan tubuh untuk proses metabolisme. Sayuran juga sarat vitamin seperti vitamin A dan C, zat besi atau kalsium.

Sebenarnya, lebih baik memasak terus sayuran yang dibeli. Namun kerana kesibukan bekerja biasanya wanita hanya pergi ke pasar seminggu sekali.

Tip memilih dan menyimpan sayuran

Sayuran berdaun hijau

Jika ingin memasak sayur-sayuran hijau seperti kangkung, bayam, daun betik, kailan dan sawi, pilih yang masih berdaun muda. Untuk mengetahuinya, patahkan bahagian batang daripada sayuran. Jika mudah patah itu menandakan daunnya masih muda. Jangan lupa periksa juga daunnya sama ada sudah kuning, berulat atau busuk.

Elakkan memotong tangkai sayuran kerana akan membuatnya cepat layu. Buang bahagian sayuran yang busuk.

Menyimpan sayuran juga ada caranya. Sayuran boleh disimpan di tempat sejuk seperti berhampiran bahagian sinki atau dapur dengan cara meletakkan di atas rak. Sebelum disimpan dalam peti sejuk, bersihkan dulu sayur-sayuran, sejat kemudian bungkus dengan kertas atau plastik lubang kecil agar sayuran boleh ‘bernafas’ kemudian simpan dalam peti sejuk.

Sayuran berbentuk buah

Tidak sukar menyimpan sayuran jenis ini misalnya tomato, terung dan timun. Pilih sayuran berwarna cerah dan kelihatan segar. Sayuran buah seperti tomato sebaik-baiknya disimpan dalam plastik tertutup supaya tidak mudah busuk dan hancur terhimpit dengan sayuran lain.

Timun seharusnya dipisahkan dari tomato atau sayuran dan buah lain yang mengeluarkan gas etilen agar timun tidak mudah busuk. Simpanlah sayuran berbentuk buah dalam keadaan tidak dipotong agar zat antioksidan yang terkandung di dalamnya tidak hilang.

Sayuran berbentuk bunga seperti brokoli dan bunga kubis perlu diperiksa bahagian dalamnya bagi mengelak berulat. Sebelum memasaknya rendam dahulu dengan air garam, kemudian cuci kembali dengan air bersih bagi membuang kotoran di dalamnya.

Sayuran berakar

Jangan dibasuh sayuran berakar kerana ia akan membuatnya cepat busuk misalnya lobak merah dan kentang. Pilih lobak yang memiliki permukaan kulit yang mulus, tidak empuk, tidak tua, tidak terlalu besar juga tidak berlubang.

Kentang mempunyai kandungan karbohidrat dan tepung yang tinggi sehingga sering dikatakan sebagai pengganti nasi. Salah satu kelebihan kentang, ia mempunyai daya simpan yang sangat tinggi.

Oleh itu, kita dapat menyimpannya dalam jangka waktu yang cukup lama, asalkan tempat penyimpanannya kering. Pilih kentang yang mempunyai kulit mulus, tiada lubang dan tiada warna hijau pada kulitnya kerana ini menandakan kentang akan terasa pahit jika dimasak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:00 AM