Azhar meninggal dunia selepas lori dipandu rempuh belakang pacuan empat roda. FOTO ihsan bomba
Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


Kampar : Pemandu lori maut selepas lori yang dipandunya merempuh belakang pacuan empat roda yang berhenti di lampu isyarat di Kilometer 29.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kuala Dipang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.30 pagi, mangsa, Azhar Mohd Yunus, 36, maut selepas tersepit lebih setengah jam di dalam lorinya sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan muatan roti yang merempuh belakang sebelah kiri sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

"Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu memberhentikan kenderaan di lampu isyarat simpang tiga sebelum memasuki simpang untuk ke Tanjung Tualang bagi menghantar sayur-sayuran.

"Pada masa yang sama, datang sebuah lori dari belakang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang Hilux itu. Akibat rempuhan itu, pemandu lori tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Hilux tidak mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 11:53 AM