Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Trio compound wanita negara membuktikan mereka bukan tandingan di benua ini apabila menjuarai acara berpasukan pada Siri Pertama Piala Asia yang berlangsung di Thailand, semalam.

Gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Saritha Cham Nong dan Norhayati Almadihah Hashim meraih emas selepas menewaskan trio Filipina di final dengan 224-217.

India merangkul gangsa selepas menewaskan Thailand 228-213.

“Sudah pasti kami gembira dengan kejayaan hari ini (semalam) kerana mampu mengubati kekecewaan beberapa hari lalu dalam acara individu.

“Kami hanya fokus memberikan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan mengenai lawan,” kata Fatin.

Kejayaan itu turut menebus kegagalan trio compound lelaki yang terlebih dulu meraih pingat perak apabila tewas 227-231 kepada Iran.

Gangsa milik India apabila menewaskan Taiwan 30-28 dalam panahan penentuan selepas terikat 227.

Trio negara membariskan Zulfadhli Ruslan, Juwaidi Mazuki dan Lee Kin Yip.

“Lawan kami (Iran) juara Kejohanan Dunia 2015, jadi sememangnya ada jurang di antara kami. Tapi kami turun dengan misi memberikan yang terbaik.

“Namun persembahan kami masih belum mampu menyaingi mereka. Bagaimanapun kami tetap gembira dengan pencapaian kali ini yang menjadi pembakar semangat untuk terus mencapai kejayaan di pentas antarabangsa,” kata Zulfadhli.

Pencapaian pemanah compound negara itu sekali gus menenggelamkan aksi pemanah recurve yang gagal meraih sebarang pencapaian membanggakan di Thailand kali ini.

Sebanyak 199 pemanah dari 26 negara termasuk tiga dari Eropah mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:03 AM