ANTARA hidangan pasta dan gril yang diolah mengikut selera tempatan.

Tidak akan ada jalan jika tiada kemahuan. Demikian motivasi dua rakan akrab sejak sekolah menengah apabila nekad membuka kafe makanan Barat, Kotak Kalam, walaupun masing-masing tiada asas dalam perkhidmatan sajian makanan dan minuman.

Menjengah ruang premis yang berkonsep santai dan seni di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, Pahang itu, pelanggan pasti tidak menyangka ia hasil gabungan juruteknik, Ahmad Dainney Zainuddin dan jurujual kereta, Mohd Hairry Shaza Mustaza, kerana hiasan dalaman termasuk hidangan yang enak seperti hasil kerja mereka yang arif dalam bidang berkenaan.

Ketika ditemui Ahmad Dainney berkata mereka sememangnya minat berniaga dan hasrat membuka kafe ini direalisasikan pada 2012, apatah lagi pada masa sama kedua-duanya ingin mewujudkan lokasi pertemuan antara rakan untuk saling bercerita dan menjamu selera.

“Kami memilih konsep kafe sebegini kerana pada masa itu ia sangat popular di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tetapi tidak di pantai timur. Kami mendapati aliran kafe dengan konsep diilhamkan dari Eropah seperti vintaj, indie dan garaj menjadi kegilaan ramai,” katanya.

Mohd Hairry berkata, makanan Barat secara fusion dijadikan menu teras kerana mereka ingin menyesuaikannya dengan konsep kafe, selain ingin lari daripada tanggapan masakan Melayu yang sering dikaitkan dengan pantai timur.

“Resipi penyediaan makanan Barat seperti pasta dipelajari menerusi YouTube sebelum diolah untuk

disuaikan dengan cita

rasa tempatan. Pada awalnya, kami senantiasa tukar menu kerana mahu memastikan hidangan yang menepati selera pelanggan,” katanya.

Menu terkenal di Kotak Kalam adalah ‘Swedish meatball’ iaitu bebola daging bersama sos buatan sendiri yang pedas, manis dan berlemak. Menu lain iaitu gril kambing dan ayam ‘grill eatalia alfredo’, ‘pasta aglio olio’ bersama kambing, ayam atau udang dan pasta ‘bolognese.’

Pelanggan juga pasti terpegun melihat dekorasi kafe dengan aksesori lama, lukisan kapur tulis, mural di dinding termasuk lukisan abstrak kreativiti pemilik kafe. Kebanyakan perabot hasil daripada kayu pallet terbuang yang diubah suai seperti daun pintu yang dijadikan meja makan.

Kotak Kalam dibuka mulai jam 5 petang hingga

12 tengah malam dan ditutup setiap Selasa. Kafe juga melakukan penghantaran makanan untuk makan tengah hari. Maklumat lanjut layari Facebook, Instagram dan Twitter dengan kata kunci kotak kalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:00 AM