FORTEEN
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kehangatan siri Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt diteruskan lagi dengan konsert menarik di Padang MPK3, Kuantan, Pahang bermula jam 9 malam ini.

Konsert sempena Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt akan menampilkan persembahan penyanyi seperti Radhi OAG, Forteen, Syamel, Drama Band, Tasha Manshahar, Fahd Ezuan dan Deen Asimi.

Forteen akan menghangatkan suasana di tapak konsert dengan mempersembahkan single terbaru mereka, Dekat Tapi Jauh dan lagu popular Berdua Bersatu.

“Insya-Allah, daripada sambutan di lokasi sebelum ini di Muar, sambutan yang diberikan memang sangat menggalakkan. Jadi, untuk lokasi kali ini, kami mengharapkan agar lebih ramai lagi peminat yang hadir,” kata One mewakili Forteen.

Forteen yang dianggotai One, Izzue Islam, Ariz dan Amir juga mengajak peminat dari sekitar Kuantan untuk bersama-sama meraikan sambutan jubli perak Harian Metro.

Bagi Tasha, dia juga teruja untuk membuat persembahan dan menghiburkan peminatnya di Kuantan.

“Memang rasa teruja itu tidak dapat saya gambarkan kerana ini kali pertama saya menyertai siri jelajah bersama Harian Metro.

“Sebelum ini, saya pernah beberapa kali membuat persembahan di Kuantan dan peminat memang ‘sporting’. Ini sedikit sebanyak membantu saya yang berada di pentas, turut saya berseronok ketika membuat persembahan,” katanya.

Penyanyi baru yang juga bintang AF2015 Syamel bakal mendendangkan lagu popularnya, Hidup Dalam Mati.

“Tentunya saya akan persembahkan single sulung saya itu. Selain itu, saya juga akan menyampaikan lagu Kamelia dan saya yakin, ramai yang akan menyanyikannya bersama-sama,” katanya.

Syamel juga mengajak warga Kuantan untuk bersama-sama hadir bagi memeriahkan suasana konsert pada malam ini.

“Marilah bersama-sama beriadah dan berhibur bersama saya serta rakan artis lain pada malam ini,” katanya.

Drama Band yang popular dengan lagu Biarkanlah juga tidak akan melepaskan peluang menghiburkan peminat di Kuantan.

“Dua lagu yang akan kami persembahkan adalah Biarkanlah dan Cerita Dia. Untuk kemunculan kali ini, kami mengharapkan lebih ramai peminat hadir ke Padang MPK3, Kuantan untuk berhibur bersama kami serta artis lain,” kata Aepul selaku vokalis.

Selain acara konsert di sebelah malam, bermula jam 4 petang ini, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan eksklusif Harian Metro dan produk Yeo’s di samping menyertai pelbagai aktiviti menarik.

Antara aktiviti yang diadakan adalah permainan buih gergasi, pertandingan mewarna, gerai fotografi, pameran dan permainan kereta kawalan jauh dan banyak lagi.

Selain dapat berhibur di konsert, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah lumayan di acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Acara ini turut dijayakan bersama rakan penaja, termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, air mineral semula jadi Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 5:02 AM