Sultan Ibrahim diiringi Mohamed Khaled ketika hadir pada Majlis Jamuan Negeri sempena Hari Keputeraan baginda di Pusat Konvensyen Antarabangsa PERSADA Johor, Johor Bahru. Turut berangkat hadir, Raja Zarith Sofiah dan Tunku Ismail. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Negeri sempena sambutan Hari Keputeraan baginda pada 23 Mac lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor PERSADA di sini, hari ini.

Ketibaan baginda pada jam 8.30 malam turut diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta anakanda baginda yang lain.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Ismail Karim dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Lebih 500 jemputan hadir memeriahkan majlis makan malam itu yang turut diserikan dengan persembahan daripada beberapa artis tempatan.

Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, prestasi pembangunan ekonomi Johor ketika ini adalah sangat memberangsangkan.

Katanya, Ibrahim International Business District, Forest City dan pelbagai inisiatif pembangunan pelancongan di Mersing sebahagian contoh serta idea sentuhan bernas Sultan Ibrahim yang menjadi antara pemacu kerancakkan ekonomi Johor.

"Semua ini tidak mungkin terjadi jika tidak kerana saranan besar dan buah fikiran Tuanku jua.

"Tuanku memberikan dimensi baharu dalam mencorakkan ekonomi Johor yang berdaya saing, mapan dan berkesejahteraan," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga akan memberi nilai tambah dan sentuhan baharu dalam Pelan Strategi Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 1:46 AM