Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk lebih peka dengan dana yang ditawarkan bagi memberi peluang usahawan mendapatkan pembiayaan pada kadar lebih rendah.

Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris BNM, Marina Kahar berkata, BNM menawarkan lima tabung pembiayaan untuk segmen perniagaan berbeza bagi membantu usahawan PKS meningkatkan keupayaan mereka dalam perniagaan.

“Walaupun dana ini disediakan BNM, namun ia dikendalikan institusi kewangan atau agensi pelaksana di mana usahawan yang mahu mendapatkan pembiayaan perlu mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sehingga tahun lalu, jumlah peruntukan terkumpul mencecah RM9.65 bilion dengan kelulusan pembiayaan terkumpul sebanyak RM27.5 bilion.

“Sehingga hujung tahun lalu, seramai 67,000 usahawan menerima pembiayaan daripada tabung ini,” katanya, di sini.

Antara tabung ditawarkan BNM melalui institusi kewangan adalah Tabung Untuk Makanan, Tabung Projek Usahawan Bumiputera, Tabung Industri Kecil dan Sederhana 2, Tabung Usahawan Baru 2 dan Tabung Pembiayaan Mikro.

“Pembiayaan ditawarkan adalah serendah RM10,000 hingga jumlah maksimum RM5 juta untuk semua tabung kecuali bagi Tabung Pembiayaan Mikro yang mengehadkan pembiayaan sehingga RM50,000.

“Kadar pembiayaan ditetapkan antara empat hingga enam peratus setahun,” katanya.

Marina berkata, usahawan perlu mengambil tahu jenis tabung ditawarkan kerana mereka mungkin keliru dengan produk pembiayaan ditawarkan.

“Sekiranya berkunjung ke mana-mana institusi kewangan, usahawan berhak mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tabung yang disediakan BNM.

“Jangan keliru dengan dana yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan bajet tahunan atau produk pembiayaan yang ditawarkan institusi kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:07 AM