PEK (tengah) menunjukkan produk The Store selepas Majlis Perasmian The Store-M3 Mall, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: The Store Corporation Berhad (The Store), rangkaian pasar raya dan gedung serbaneka tempatan menyasarkan untuk membuka dua lagi cawangan baru yang terletak di Selayang, Selangor dan Jerantut, Pahang menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek berkata, dua cawangan terbabit akan dibina dengan keluasan 80,000 kaki persegi (Selayang) dan 60,000 kaki persegi (Jerantut) membabitkan purata peruntukan antara RM2 juta hingga RM4 juta bergantung kepada lokasi.

“Untuk masa ini, kami lebih berhati-hati dalam membuka cawangan baru dan ia bukan kerja mudah berikutan pelbagai faktor termasuk keadaan ekonomi tidak mementu pada masa ini,” katanya pada pelancaran cawangan terbaru The Store, semalam.

Majlis itu menyaksikan The Store membuka cawangan pasar raya ke-75 di bawah Kumpulan dan ke-49 bagi jenama The Store di Kompleks M3 Mall, Taman Melati dengan keluasan 60,000 kaki persegi merangkumi tiga tingkat dan membabitkan kos pelaburan melebihi RM2 juta.

Beliau berkata, pembukaan cawangan terbaru ini adalah usaha Kumpulan membantu orang ramai menjimatkan lagi perbelanjaan harian dengan menawarkan barang pada harga berpatutan namun berkualiti terutama ketika keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

“Bersempena majlis pembukaan ini, kami bakal menawarkan diskaun sehingga 80 peratus beserta hadiah percuma di samping ganjaran lain bermula 24 Mac hingga 27 Mac ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:04 AM