ADUN Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain (dua dari kanan) meninjau keadaan peniaga di Merbok yang terjejas akibat kekurangan bekalan air. - Foto NOR FARHANI CHE AD
BERNAMA

Sungai Petani: Penyusutan air di dua loji di Merbok dan Tupah yang menjadi sumber utama membekalkan air ke 45 buah kampung dan taman di sekitar Merbok di sini, dikenal pasti menjadi punca kekurangan air di kawasan terbabit.

Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, masalah air sering berlaku di kawasan Merbok namun cuaca panas berterusan sejak dua minggu lalu, menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk dan menjejaskan kira-kira 10,200 pengguna di kawasan itu.

"Kita dapati jumlah bekalan air di Loji Air Tupah hanya tinggal 30 peratus berbanding jumlah sepatutnya, ia membekalkan air kepada penduduk iaitu 7,000

meter padu sahaja daripada 18,000 meter padu manakala Loji Air Merbok mengalami penyusutan ketara iaitu daripada 3,000 meter padu kepada 897 meter padu setakat hari ini.

"Sehingga kini, kita menerima aduan daripada lebih 1,500 pemilik kediaman yang terputus bekalan air namun SADA (Syarikat Air Darul Aman) sudah mengambil langkah menghantar bekalan air secara berjadual sejak krisis air melanda kawasan terbabit," katanya selepas meninjau beberapa lokasi di sekitar Merbok, di sini, hari ini.

Tajul Urus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-badan Bukan Kerajaan itu berkata, bagi menampung kekurangan air, SADA

menggunakan bekalan dari Loji Air Taman Keladi, Pinang Tunggal dan disalurkan ke pam air di Kampung Paya Suri Semeling.

"Namun ia hanya mampu menampung kira-kira 40 peratus sahaja penggunaan air penduduk manakala selebihnya bergantung kepada bekalan menerusi lori tangki air SADA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:56 PM