Abd Aziz (dua kiri) dan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai (kiri) menunjukan rampasan dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak. FOTO Che Rani Che Din
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuching: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dengan menahan sepasang kekasih dan merampas dadah bernilai RM1.42 juta dalam serbuan di rumah di Jalan Lapangan Terbang di sini, semalam.

Dalam serbuan 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 25 tahun ditahan, 18,806 pil ekstasi serta satu kilogram syabu dirampas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abd Aziz Yusof berkata, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 31 Mac ini untuk siasatan lanjut.

"Polis turut menyita tiga kereta, barang kemas dan jam tangan Rolex milik suspek bernilai RM235,000.

"Suspek lelaki mempunyai lima kes jenayah berkaitan dadah sejak 2010 dan baru enam bulan dibebaskan dari penjara," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 4:52 PM