Anggota Bomba memadam kebakaran. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Anggota Bomba memadam kebakaran. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KENDERAAN terbakar 70 peratus. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Dua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Jempol sempat menyelamatkan diri apabila pacuan empat roda yang dinaiki terbakar di persimpangan lampu isyarat Bandar Seri Jempol di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit dalam perjalanan ke Ladang Geddes sebelum terhidu bau hangit dari dalam pacuan empat roda milik jabatan itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol Mohd Fahmi Abdullah berkata, pemandu berusia 56 tahun bertindak memberhentikan kenderaan dan keluar menyelamatkan diri.

"Bomba menerima panggilan pada 9.25 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian. Bomba memadamkan kebakaran beberapa minit kemudian.

"Kenderaan itu terbakar 70 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 11:06 AM