FATIN lakukan 72 panahan.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemanah compound wanita negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh memberikan gambaran awal untuk menggegar pada Siri Pertama Piala Asia yang sedang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Pada saingan kelayakan semalam, atlet dari Sabah itu berada pada kedudukan teratas dengan mengumpul 688 mata selepas melakukan 72 panahan bagi mengatasi 30 pesaing lain sekali gus meraih pingat emas pertama negara.

“Sebanyak 72 panahan dibahagikan kepada dua set. Saya tidak melakukan panahan dengan baik pada set pertama namun tetap cuba yang terbaik. Memang tidak sangka mampu raih emas.

“Saya akan cuba meneruskan aksi terbaik menerusi acara seterusnya. Sukar untuk meramalkan situasi esok (hari ini) terutama apabila membabitkan aspek cuaca,” kata Fatin.

Turut cemerlang rakan senegara, Saritha Cham Nong yang berada pada kedudukan keempat dengan 679 mata manakala Norhayati Al-madihah Hashim dan Nor Rizah Ishak menduduki tempat ke-11 dan 18.

Keputusan itu membolehkan pasukan wanita negara berada pada ranking pertama acara berpasukan dan mara ke separuh akhir apabila mendapat bye pusingan suku akhir.

Atlet compound lelaki turut cemerlang apabila Lee Kin Yip muncul pemanah ketiga terbaik dalam saingan kelayakan sekali gus membantu acara berpasukan berada pada kedudukan kedua.

Persembahan pemanah recurve wanita turut cemerlang apabila Nur Aliya Ghapar meraih tempat keenam dengan 642 mata namun nasib berbeza dialami pemanah lelaki.

Pemanah utama Khairul Anuar Mohamad sekadar di kedudukan ke-31 dengan Akmal Nor Hasrin ke-16, disusuli Haziq Kamaruddin ke-20.

Saingan kalah mati acara recurve dan compound akan berlangsung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:08 AM