JERAWAT kosmetik mencacatkan penampilan diri.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Solekan sudah menjadi satu kemestian buat wanita demi memastikan penampilan diri sentiasa terlihat menawan dan meyakinkan, malah bukan perkara pelik sekiranya gadis seawal usia 13 tahun sudah pandai mengenakan solekan atau paling tidak mengoles bibir dengan secalit gincu.

Justeru tidak hairan jika dilihat begitu banyak jenama kosmetik bagai cendawan tumbuh selepas hujan, hanya tinggal pengguna yang perlu membuat keputusan bijak untuk memilih alat kosmetik yang selamat dari segi kandungan bahannya.

Jika tersilap langkah, alat kosmetik yang dipilih juga mampu mengakibatkan masalah pada kulit wajah seperti radang atau jerawat yang dipanggil ‘acne cosmetica’ atau jerawat kosmetik.

Kebanyakan remaja perempuan dan wanita dewasa mengalami masalah jerawat yang berpunca daripada alat solek yang mereka gunakan. Kebergantungan kepada alat solek untuk menutup jerawat, tetapi yang sebaliknya berlaku, jerawat boleh tumbuh lebih banyak dan mendatangkan kesan lebih buruk pada radang kulit yang sedang dihidapi.

Jerawat kosmetik bukanlah satu masalah kecil kerana terlalu ramai wanita yang taksub dengan kosmetik.

Mungkin kerana mereka terpengaruh dengan media yang menggambarkan bahawa mengenakan kosmetik sesuatu yang trendy atau boleh membuatkan mereka lebih cantik dan menarik. Keinginan untuk kelihatan cantik dan menarik adalah naluri manusia umumnya dan wanita khususnya.

Pakar masalah jerawat dan jeragat, Dr Hasseenah Hassan berkata, jerawat kosmetik adalah masalah jerawat yang biasa dihadapi pengguna alat solek.

Bagaimanapun katanya, kosmetik bukan hanya bermaksud alat solek, tetapi apa saja yang bersentuhan dengan kulit muka boleh menyebabkan berlaku jerawat. Sebab itu masalah jerawat pada muka bukan hanya berlaku dalam kalangan wanita, tetapi juga lelaki serta mereka yang jarang ditumbuhi jerawat di muka.

Jerawat kosmetik kerap menyerang kawasan permukaan kulit yang sering diliputi alat solek seperti pipi dan dahi. Keadaan ini mula berlaku dalam masa beberapa minggu atau bulan.

“Pada peringkat awal, anda akan lihat bonjolan kecil kemerahan yang gatal seperti ruam. Ia akan kekal beberapa lama pada kulit jika terus memakai alat solek di permukaan kulit terbabit. Walaupun tumbuh, ia tidak akan meninggalkan kesan parut.

“Jika tidak dirawat, ia boleh merebak kepada keradangan (papules) dan seterusnya jerawat bernanah (pustules). Walaupun jerawat jenis ini dianggap tidak begitu serius, ia mengganggu, berterusan dan merimaskan,” katanya.

Menurutnya, bahan yang boleh menyebabkan jerawat terdapat dalam kosmetik ialah isopropyl palmitate, isopropyl isostearate, butyl stearate, isostearyl neopentanoate, myristyl myristate, decyl oleate, octyl stearate, octyl palmitate dan isocetyl stearate.

Selain itu, pigmen warna yang digunakan dalam kosmetik juga boleh menyebabkan jerawat kosmetik.

Dr Haseenah berkata, penggunaan bedak asas penyumbang terbesar terhadap jerawat kosmetik kerana bedak asas digunakan di seluruh muka dan secara liberal.

Pengguna bedak asas cenderung memilih bedak bentuk krim kerana ia lebih senang disapu, tidak terlalu ‘berat’ dan memberi liputan yang bagus .

Bagaimanapun, bedak asas jenis krim biasanya mengandungi minyak berat untuk mendapat kesan ‘licin’ malah kebanyakan produk yang mempamerkan bebas minyak juga mengandungi minyak.

“Anda boleh uji sendiri kandungan minyak dalam bedak asas yang dipakai dengan menggunakan kertas minyak. Calitkan sedikit bedak asas yang biasa dipakai dan boleh lihat sendiri jika ia mengandungi minyak,” katanya.

Menurutnya, cara terbaik untuk menangani masalah jerawat yang berpunca daripada pemakaian alat solek adalah dengan membeli alat solek dan produk penjagaan kulit yang bukan komedogenik dan elak daripada menggunakan produk yang menyebabkan berlakunya radang pada kulit.

Katanya, komedogenik ialah bahan yang boleh menyebabkan liang roma tersumbat dan akhirnya menyebabkan iritasi dan jerawat kosmetik.

Perkara yang boleh dilakukan sebagai rutin untuk mengelakkan muka ditumbuhi jerawat kosmetik jika perlu menggunakan alat solek adalah:

1. Jangan tidur tanpa membersihkan muka daripada solekan. Anda boleh gunakan pencuci muka yang lembut pada kulit serta penyegar untuk membersihkan kulit muka.

2. Pilih alat solek yang mempunyai label bukan komedogenik untuk me­ngelakkan bahan alat solek itu terkumpul dalam liang roma muka.

3. Bersihkan alat solek seperti berus alat solek dengan sabun antimikrob untuk menghapuskan bakteria.

4. Gunakan alat solek berasaskan bedak berbanding berasaskan cecair kerana cecair mempunyai kandungan minyak yang tinggi.

5. Cuba tukar jenama alat solek jika yang digunakan sekarang menyebabkan iritasi dan radang pada kulit muka.

6. Elakkan daripada memakai alat solek terlalu kerap untuk memberi peluang kulit anda sembuh dan segar.

7. Elakkan daripada menggunakan bau-bauan dan minyak wangi yang berbau manis kerana minyak wangi yang berbau manis boleh menjadi punca alergi dan radang pada kulit muka dan leher.

8. Elakkan daripada menggunakan bedak muka atau pemerah pipi yang mempunyai kilatan (glitter atau sparkle) kerana bahan mineral yang terkandung dalamnya iaitu mica, mempunyai struktur kasar dan boleh melukakan permukaan kulit.

Kini terdapat sejenis rang­kaian alat solek yang berasaskan mineral semula jadi. Ia amat lembut dan ringan. Antara kelebihan rangkaian kosmetik mineral:

1. Tidak menyebabkan liang tersumbat. Ini kerana partikel mineral yang juga asas kosmetik mineral ini mempunyai saiz yang lebih besar daripada liang kulit. Oleh itu, kosmetik hanya berada di lapisan kulit atas tanpa diserap oleh kulit, dengan itu mengelakkan liang daripada tersumbat.

2. Tidak mempunyai risiko dicemari kuman. Ini kerana kosmetik mineral mempunyai asas berbentuk mineral iaitu bukan organik yang menyebabkan ia tidak mempunyai risiko pencemaran.

3. Boleh dipakai oleh kulit sensitif dan berjerawat. Amat sesuai untuk me­ngawal kulit berminyak. Ia juga boleh digunakan sejurus selepas rawatan pengelupasamn kimia, extraction, mikrodermabrasion dan laser.

4. Juga sesuai untuk kaum lelaki yang mempunyai kulit berminyak kerana warna bedak yang semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 6:03 AM