Jamil (dua kiri) bersama dengan Pengarah Urusan dan Presiden Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Aziz (kiri) serta Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (B)Tan Sri Abdul Aziz Zainal Abidin (empat kanan) di Majlis Pelancaran Logo RMS Gold Wafer dan Anugerah Ar-Rahnu X Change 2015 di Dewan Tun Abdul Razak Menara Bank Rakyat. FOTO Yazit Razali
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) optimis perniagaan francais dijalankan oleh pemain industri koperasi tempatan mampu menyokong sumbangan sektor koperasi sebanyak 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Kementerian itu melihat prestasi perniagaan francais yang dipamerkan menerusi sektor pajak gadai Islam, Ar-Rahnu misalnya, membantu Bank Rakyat menerusi anak syarikatnya yang menjalankan perniagaan francais Ar-Rahnu, Rakyat Management Services Sdn Bhd (RManagement) mencatatkan prestasi memberangsangkan.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh berkata, di bawah RManagement menerusi produk francaisnya, Ar-Rahnu X'Change yang menjalankan perniagaan gadaian sudah menjana sebanyak RM705,158 juta nilai pengeluaran dan menyumbang kepada RM1.4 bilion nilai keseluruhan nilai Ar-Rahnu Bank Rakyat.

"Melihat kepada perkembangan perniagaan ini, saya begitu optimis bahawa Ar-Rahnu X'Change akan terus berdaya saing dan menjadi jenama francais yang mendominasi pasaran pajak gadai Islam di negara ini.

"Setakat tahun lalu, Bank Rakyat mencatatkan 38 peratus penguasaan pasaran dalam segmen pajak gadai Islam di Malaysia bersamaan RM1.9 bilion daripada RM5 bilion saiz pasarannya ketika ini," katanya berucap dalam Majlis Anugerah Ar-Rahnu X'Change 2015 di sini, hari ini.

Pada majls itu, beliau turut merasmikan produk baru dari RManagement, RMS Gold Wafer yang dijual kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan lagi penyertaan pelaburan emas fizikal di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 10:33 PM