Khairul Najib Asarulah Khan
am@hmetro.com.my


Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan mengeluarkan 33 kompaun bernilai RM25,900 dalam Ops Bersepadu di Kawasan Perindustrian Nilai 3, hari ini.

Operasi bermula 10.30 pagi hingga 2 petang itu disertai sembilan agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Veterinar, Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dengan kekuatan 170 anggota.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri, Saifulbahri Abd Kadir berkata, dalam operasi itu pihaknya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan peniaga permaidani, aksesori rumah dan perabot.

"Antara kesalahan dilakukan ialah tidak meletakkan tanda harga, menggunakan alat timbang yang tidak mendapat kelulusan dan menjalankan jualan murah tanpa menghantar notis kepada KPDNKK.

"Semua peniaga terbabit dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya dalam sidang media sebaik selesai operasi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 5:15 PM
SAIFULBAHRI (kanan) ketika menjalankan pemeriksaan terhadap premis sempena operasi bersepadu anjuran KPDNKK Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman