ZALDINO menunjukkan computer riba dan telefon bimbit dirampas. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
am@hmetro.com.my


Nilai: Polis menahan lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai terbabit dalam 31 kes jenayah sebelum merampas pelbagai jenis barangan curi di rumahnya di Mantin di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, sebelum itu lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di Mantin, menyebabkannya dicekup.

"Hasil pemeriksaan dibuat di rumah suspek menemui 83 telefon bimbit pelbagai jenis, 24 komputer riba, sebuah kamera, sebuah kamera video, sebuah televisyen dan sepasang gari.

"Selain itu, terdapat 10 topi keledar, enam parang dan pisau serta tiga plastik dipercayai dadah," katanya dan rampasan bernilai RM200,000.

Beliau berkata, siasatan mempercayai suspek terbabit 11 kes curi motosikal, 15 pecah rumah dan lima kes samun di Mantin dan Nilai.

"Selain suspek, pihak kami sedang memburu rakan sejenayahnya berusia 29 tahun," katanya dalam sidang media di Balai Polis Nilai, di sini, hari ini.

Zaldino berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457, 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 4:55 PM