PESERTA kejohanan perlu mencari persimpangan Jalan Asahan yang mempunyai papan tanda arah ke Laman Tiga Budaya.
Oleh Norfaisal Jahuri
sukan@hmetro.om.my

Jasin

Kaunter pengesahan pendaftaran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan akan dibuka bermula jam 3 petang ini.

Pengarah Pendaftaran Kejohanan Riadz Radzi berkata, peserta dinasihatkan supaya segera mengesahkan penyertaan selain mengambil beg cenderahati yang dilengkapi bahan persediaan perlumbaan.

Katanya, peserta perlu datang awal bagi mengelakkan kesesakan saat akhir selain memudahkan mereka mendengar taklimat teknikal bermula jam 4 petang.

“Peserta dinasihatkan datang awal supaya mudah mencari lokasi pertandingan pada siang hari berbanding jika tiba lewat walaupun kaunter pengesahan pendaftaran ditutup jam 10 malam.

“Ini bagi memudahkan mereka datang pada keesokan harinya untuk menyertai kejohanan,” katanya, di sini, semalam.

Riadz berkata, peserta yang datang dari arah Selatan menerusi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) boleh masuk ke Persimpangan Tol Tangkak dan kemudian ke Asahan dengan berpandu arah tanda.

Katanya, bagi peserta dari arah Utara, mereka boleh masuk di Persimpangan Tol Jasin dengan menuju ke arah bandar Jasin sebelum ke Asahan.

Menurutnya, bagi mereka yang menggunakan GPS atau Google Maps boleh mencari lokasi menerusi carian longitud dan latitud 2.408220, 102.581072 atau membuat carian Jalan Kolam Air, Asahan atau Kem Lagenda Gunung Ledang.

Menurutnya, peserta perlu berkumpul di tapak pelepasan jam 6.30 pagi esok dengan kategori XC Metro Race akan bermula jam 8 pagi dan Terbuka Metro (Jamboree) 15 minit selepas itu.

Katanya, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah akan bermula jam 1 petang dan majlis dijangka tamat sejam kemudian.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi 019-6434049 atau 016-9393934.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:21 AM