KONGSI pengalaman dan petua bergelar ibu bapa.
KONGSI pengalaman dan petua bergelar ibu bapa.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Lisa Surihani berharap paparan wajah anaknya Yahaira Leanne Yusry dalam program eBu Babypedia tidak dijadikan isu oleh mana-mana pihak.

Menurut Lisa, tiada hak eksklusif diberikan kepada mana-mana stesen TV dan program berkenaan lebih kepada perkongsian pengalaman dan tip ketika awal kehamilan sehinggalah tempoh berpantang.

Katanya, program itu juga bukan mengenai kehidupannya selepas bergelar ibu kepada Yahaira yang kini berusia enam bulan.

eBu Babypedia akan ditayangkan setiap Rabu di Astro Ria saluran 104 dan Astro Ria HD saluran 123 bermula jam 9 malam ini.

“Program ini membabitkan saya dan suami, Yusry Abdul Halim. Kami ditawarkan program ini selepas saya habis berpantang. Pada awalnya mereka mahu kami turut mengetengahkan Yahaira, tetapi kami tidak suka terlalu mendedahkan anak pada orang ramai.

“Jadi, selepas berbincang dengan Astro mereka setuju untuk mengadakan program seperti ini. Adalah juga sesekali kelibat Yahaira muncul dan bukanlah untuk mendedahkannya kepada umum, tetapi cuma sebagai pelengkap program,” katanya.

Seperti Lisa, Yusry juga mengakui perkara yang sama.

Selepas sama-sama berbincang untuk tidak terlalu mendedahkan anak, barulah mereka setuju untuk tampil dalam program 13 episod itu.

“Tiada eksklusif. Jika kami rasa hendak memuat naik gambar Yahaira kami akan lakukan. Seperti yang berlaku pada majlis akikah Yahaira baru-baru ini, kami muat naik gambarnya di Instagram masing-masing.

“Begitu juga selepas ini. Jika mahu kami muat naik begitu juga sebaliknya. Seperti yang pernah kami katakan sebelum ini, kami mahu anak membesar dengan cara normal dan sederhana tanpa ada publisiti.

“Program ini juga ia tidak hanya memaparkan kehidupan kami suami isteri selepas mempunyai anak, tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman dan memberi serta mendapatkan petua kepada bakal ibu dan bapa,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjaya seninya, Lisa berkata, jika tiada halangan dia akan ke lokasi penggambaran sebuah telefilem bulan depan.

“Semuanya masih dalam perbincangan. Insya-Allah jika tiada halangan saya akan kembali berlakon bulan depan.

“Apabila sudah jadi ibu ini pastinya keutamaan lebih kepada anak dan keluarga.

“Jika ada tawaran berlakon mungkin saya memilih untuk berlakon di sekitar ibu kota saja. Andai keadaan memerlukan saya ke luar Kuala Lumpur, mungkin saya akan membawa suami dan anak bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:38 AM