Pemimpin ASEAN serta 44 negara menyertai persidangan Bali Process mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan selama dua hari mulai hari ini. - Foto EPA
BERNAMA

Bali: Malaysia kini menjadi negara destinasi sindiket pemerdagangan manusia menempatkan pendatang, berikutan kemajuan dan peluang pekerjaan yang ada.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sedang mengambil beberapa langkah segera untuk menangani perkara itu kerana ia boleh membawa masalah jenayah domestik oleh rakyat asing.

Katanya kerajaan sangat komited membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara terbabit bagi mengatasi masalah berkenaan sempena persidangan Bali Process yang berlangsung di sini.

Beliau berkata, jika dahulunya Malaysia negara transit tetapi kini pendatang asing tanpa izin memasuki negara dan kemudian membuang segala dokumen pengenalan diri bagi menghilangkan identiti warganegara mereka.

“Dulunya Malaysia negara transit untuk rakyat asing ke Australia dan negara lain tetapi sekarang mereka menjadikan Malaysia sebagai negara destinasi terakhir kerana peluang pekerjaan yang ada," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berada di Bali bagi menghadiri persidangan Bali Process iaitu persidangan mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang berlangsung dua hari mulai hari ini.

Katanya, antara masalah dihadapi ialah negara asal imigran haram itu tidak lagi mengiktiraf mereka sebagai rakyat kerana ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata masalah seumpama itu akan dibincangkan dalam persidangan berkenaan oleh ASEAN dan 44 negara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:49 PM