KEMALANGAN di lampu Isyarat Pesiaran Mokthar Dahari, simpang empat masuk ke Subang. FOTO Faiz Anuar
Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Pemandu lori pasir yang merempuh 14 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari-Jalan Subang ditahan polis selepas datang ke lokasi kejadian semalam.

Lelaki berusia 54 tahun itu dikesan hadir ke lokasi kejadian tiga jam selepas kemalangan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori mendapati negatif dadah.

"Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai dua saman lampau membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat dan membawa muatan tidak kemas.

"Sehingga kini sebanyak 13 laporan polis telah dibuat oleh pemandu yang terbabit manakala pemandu sebuah kereta belum hadir membuat laporan," katanya

Shafien berkata, tiada kemalangan jiwa serta kecederaan serius yang dilaporkan oleh mangsa dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 11:30 AM