SYAMEL.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Peluang menjayakan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt sememangnya dinanti bintang AF2015, Syamel kerana dapat mendekati peminat.

Apatah lagi diadakan di luar Kuala Lumpur, ia menjadi medium terbaik untuk Syamel mempromosikan lagu dendangannya.

“Bukan selalu saya dapat bertemu peminat di luar Kuala Lumpur. Acara sebegini membolehkan saya memperkenalkan diri kepada mereka,” katanya.

Selepas mendapat sambutan memberangsangkan di Alor Setar, Kedah dan Muar, Johor, kehangatan Siri Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt diteruskan di Padang MPK3, Kuantan, Pahang pada 25 dan 26 Mac ini.

Kali ini, pelbagai aktiviti menarik diadakan dan pastinya acara kemuncak paling dinanti adalah persembahan artis popular tanah air.

Pertama kali mengadakan persembahan di Kuantan, Syamel mengakui perasaannya bercampur-baur.

“Ada juga rasa kekok kerana sebelum ini kalau ada siri jelajah, saya akan beraksi dengan rakan AF2015 yang lain.

“Memang gementar tetapi pada masa sama saya teruja mahu menghiburkan orang Kuantan dan kawasan sekitar,” katanya.

Menurut Syamel, dia akan menyanyikan single hitnya, Hidup Dalam Mati dan Kamelia, nyanyian asal kumpulan Sweet Charity.

“Insya-Allah, ramai tahun lagu Hidup Dalam Mati dan Kamelia. Harap mereka akan menyanyi bersama saya,” katanya.

Sebagai pendatang baru, Syamel mengakui dia perlu melakukan persiapan rapi sebelum membuat persembahan.

“Walaupun akan menyampaikan lagu sendiri, saya perlu melakukan persiapan secukupnya. Ini penting kerana sebagai artis baru saya ada banyak kekurangan.

“Sudah seminggu saya berlatih kerana mahu berikan yang terbaik pada hari konsert nanti,” katanya.

Sambung Syamel lagi, dia berharap kehadirannya diterima baik penduduk Kuantan dan kawasan sekitar.

“Diharap orang Kuantan dan daerah lain di Pahang tidak melepaskan peluang bertemu saya dan rakan artis lain. Marilah sama-sama kita memeriahkan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeougurt pada hujung minggu ini,” katanya.

Selain Syamel, barisan artis lain yang turut sama menjayakan acara ini adalah Radhi OAG, Drama Band, Forteen, Tasha Manshahar, Fahd Ezuan dan Deen Asimi.

Selain berhibur, orang ramai turut berpeluang memenangi hadiah lumayan cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Acara ini turut dijayakan bersama rakan penaja, Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 9:09 AM