ANAK pokok anggur brazil klon dan anak benih anggur biasa klon.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil
rencana@hmetro.com.my


Ia dikenali dengan nama jaboticaba, jabuticaba, guaperu, guapuru, hiva­puru, sabara, ybapuru, anggur brazil dan anggur batang atau nama saintifiknya Eugenia cauliflora berg.

Walaupun dipanggil ang­gur, pokok berasal dari Brazil dan turut terdapat di Argentina, Paraguay, Peru dan Bolivia ini sebenarnya bukan daripada famili anggur (Vitaceae).

Jika pokok anggur daripada jenis menjalar, pokok anggur brazil menegak dan berbuah di batang, bukan di ranting seperti kebanyakan buah lain

Ia dinamakan anggur kerana mungkin disebabkan buahnya mirip anggur iaitu bulat bersaiz antara tiga hingga empat sentimeter. Ketika putik ia berwarna hijau sebelum berubah menjadi ungu kehitaman apabila masak manakala isinya berwarna putih.

Kebanyakan anggur brazil dimakan segar dengan rasanya masam-masam manis. Ia boleh dimakan segar atau dibuat jus dan jem.

Pokoknya memiliki batang yang besar dan banyak ranting. Bagaimanapun, melalui proses pengklonan, anggur brazil kini boleh ditanam di dalam pasu dan tidak memerlukan kawasan tanah yang luas .

Faktor ini menyebabkan tanaman ini makin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang minat berkebun di Malaysia, Indonesia,Thailand dan Vietnam.

Pembekal dan pengedar pokok klon, Othman Saidon, 56, dan isterinya, Shuriyana Shafie, 52, turut menjual pokok ini di kediaman mereka di Taman Senawang Jaya, Negeri Sembilan.

“Anggur brazil pokok klon terbaru yang saya jual sejak September tahun lalu. Sebenarnya pokok ini sudah banyak ditanam di Indonesia dan Thailand serta mengeluarkan buah yang lebat.

“Pengklonan pokok ini menggunakan cantuman mata tunas dan cantuman sisi. Pokok ini unik kerana berbuah di bahagian batang dan mengambil masa

tiga tahun untuk berbuah selepas diklon,” katanya yang ditemui, baru-baru ini.

Othman berkata, saiz buah anggur brazil hampir sama dengan anggur biasa dan tumbuh subur di kawasan cuaca tropika.

“Berbeza dengan anggur biasa, tanaman ini memiliki batang yang mempunyai banyak dahan manakala bunganya lebih mirip dengan buah jambu biji.

“Saat matangnya ialah apabila kulit buah berwarna ungu pekat hampir hitam. Ketika muda, buahnya berwarna hijau terang dan juga dipanggil anggur batang kerana berbuah di bahagian batang.

“Bagaimanapun, ketika ini sukar untuk saya mendapatkan buahnya kerana masih pada peringkat anak benih,” katanya.

Selain anggur brazil, Othman turut menjual 73 pokok klon lain, antaranya kelapa pandan, limau kasturi, durian belanda, jambu batu, durian musang king, jambu air, matoa atau longan kristal dan mangga.

“Selain itu, kelapa matag, petai, jering, jambu lohan, delima iran, belimbing, mang­gis masta, betik sekaki, mangga harum manis, mangga cukanan, mangga madu, ciku mega, rambutan gading, rambutan anak sekolah, nangka madu, pulasan, cempedak, limau nipis dan purut,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam bidang pertanian, Othman berkata, dia mula menjual pokok klon sejak lapan bulan lalu selepas tertarik dengan keunikan tumbuhan berkenaan selain mendapat pemintaan tinggi.

“Saya mahu mempromosikan konsep dusun bandar sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pemilik rumah membeli atau mendapatkan buah-buahan tempatan.

“Mereka boleh menanam semua pokok ini dalam pasu dan memetik dengan senang, malah pokok ini me­ngeluarkan buah lebat seperti terbukti diamalkan pengusaha di Thailand dan Indonesia,” katanya.

Othman yang dibantu lima orang pekerja berkata, penjagaan pokok klon mudah tetapi perlukan baja dan tanah sesuai supaya dapat hidup subur dan tidak dijang­kiti bakteria.

Anak benih pokok klon dijual antara RM20 hingga RM50 manakala pakej bersama pasu dan tanah sehingga RM400 sepokok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 6:13 AM