TUANKU Syed Sirajuddin menyempurnakan majlis pengisytiharan padi MARDI SIRAJ 297.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan satu lagi varieti padi baru dikenali sebagai Padi MARDI SIRAJ 297.

MARDI SIRAJ 297 rintang kepada penyakit karah dan ia boleh menjadi alternatif kepada pesawah terutama di kawasan terdapat serangan penyakit karah yang serius.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, potensi hasil varieti itu setanding dengan varieti terkini dan mempunyai cita rasa nasi yang sesuai kepada pengguna tempatan.

Beliau berkata, proses pembiakbakaan MARDI SIRAJ 297 melalui kaedah kacuk ulang antara baka padi wangi MRQ76 dan baka ulangan titisan padi P446.

“Titisan padi P446 mempunyai salasilah dengan varieti padi MRQ74, MR211, MR182 dan varieti padi Javanica Ase Mandee. Kacukan baka padi Siraj 297 dilaksana pada musim utama 2006/2007.

“Pemilihan pukal dan pedigree dilaksana pada musim utama 2007/2008 hingga musim utama 2010/2011. Ia seterusnya diuji pada penilaian hasil awal dan lanjutan pada musim luar 2011 hingga musim utama 2012/2013.

“Penilaian di peringkat multilokasi di jelapang padi utama dilaksana pada musim luar 2013 hingga musim utama 2013/2014,” katanya selepas Majlis Pengisytiharan Padi MARDI SIRAJ 297 di Arau, Perlis, baru-baru ini.

Majlis Pengisytiharan disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Berang­kat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Ahmad Zamri Khairuddi dan Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI Datuk Mohd Fadhil Osman.

Sharif berkata, hasil penilaian menunjukkan SIRAJ 297 memberi hasil yang tinggi dan stabil pada pelbagai persekitaran dan ia dimajukan ke peringkat penentusahan setempat pada musim luar 2014.

“Ciri agronomi pokok padi SIRAJ 297 adalah tegak dan mempunyai daun pengasuh sedikit panjang berbanding MR263. Dalam sistem tabur terus, Siraj 297 matang sekitar 110 hingga 115 hari atau sekitar lima hari matang lewat berbanding MR263.

“Panjang batang varieti padi SIRAJ 297 adalah sekitar 64.4 hingga 70.0 sentimeter (sm) dan mempunyai ketinggian pokok yang hampir sama seperti MR263.

“Varieti padi ini ada bilangan tangkai yang ba­nyak berbanding MR263 dan mempunyai pengisian tang­kai yang baik iaitu sekitar 77.1 hingga 86.2 peratus,” katanya.

Menurutnya, berat seribu biji varieti padi ini ialah 27.8 hingga 29.2 gram berbanding MR263 (24.9 hingga 25.1 gram) dan antara penyumbang kepada faktor hasil yang baik.

“Peratus perolehan beras SIRAJ 297 rendah sedikit (61.4 peratus) berbanding MR263 (65.5 peratus). Padi ini mempunyai beras yang panjang iaitu 7.70 milimeter (mm) berbanding MR263 (6.97 mm).

“Namun, kedua-duanya masih dalam kategori yang sama sebagai beras panjang dan tirus. SIRAJ 297 mempunyai kandungan amilosa yang tinggi berbanding MR263.

“Kedua-duanya mempunyai konsistensi gel yang lembut. Keistimewaan SIRAJ 297 ialah rintang kepada penyakit karah daun, karah tangkai dan penyakit merah virus,” katanya.

Sharif berkata, ia juga sederhana rintang kepada perosak benah perang, namun ia mempunyai kelemahan kerana sederhana rentan kepada penyakit hawar daun bakteria serta rentan kepada penyakit hawar seludang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 6:10 AM