PRODUK sejuk beku mendapat sambutan.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi jenama Peladang mengeluarkan produk makanan bagi memenuhi permintaan pengguna yang inginkan makanan bersih dan halal.

Pengurus NAFAS Faizah Jamaludin berkata, jenama Peladang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas tani sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pada 25 November 2014.

Beliau berkata, NAFAS diberi hak tunggal untuk Cap Dagangan Jenama Peladang oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas peng­gunaan jenama berkenaan.

“Tujuan penjenamaan produk keluaran Pertubuhan Peladang (PP) berhubung kait dengan penguasaan rantaian nilai oleh PP bermula daripada aktiviti pengeluaran yang dikuasai ahli PP dan usahawan peladang.

“Aktiviti pemprosesan dilakukan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan NAFAS sendiri.

“Oleh itu, semua produk keluaran ahli dan PP akan dipayungi di bawah jenama Peladang.

“Ia bertujuan menangani isu orang tengah. Semua produk di bawah jenama Peladang yang dikeluarkan ahli dan PP akan dipasarkan sendiri oleh NAFAS, PPN dan PPK,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat NAFAS di Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, tumpuan kepada pengukuhan kualiti dan pembungkusan sangat penting supaya semua produk boleh dipasarkan dan selamat dimakan.

“Selain itu, setiap produk yang dikeluarkan dan dipasarkan di bawah jenama Peladang dijamin dari segi kebersihan dan halal selaras dengan slogan ‘Jenama Yang Diyakini’.

“Sehingga kini, ada empat segmen dan jenis produk keluaran PP, antaranya makanan, makanan ternakan, input pertanian dan jentera,” katanya.

Faizah berkata, dalam segmen makanan, ada beberapa kategori produk seperti cip buah-buahan dihasilkan daripada buah-buahan segar terus dari ladang terpilih.

“Proses penggorengan menggunakan teknologi terkini supaya dapat me­ngekalkan keaslian buah dan rasanya tanpa sebarang perasa dan 100 peratus asli.

“Antaranya cip nangka, nanas, cendawan, mangga dan betik yang pasti memenuhi cita rasa pelang­gan yang menggemarimakanan itu,” katanya.

Faizah berkata, pihaknya juga mengeluarkan empat jenis biskut di bawah jenama Peladang iaitu butter cookies, oat & walnut cookies, double chocolate chip cookies dan mix fruits cookies.

“Ia sesuai dijadikan makanan sampingan ketika sarapan dan minum petang. Keenakan biskut berkenaan sentiasa mendapat pemintaan daripada pelanggan.

“Kita turut mengeluarkan makanan dalam tin, antaranya kari ayam, kari daging, kari ikan keli dan sambal ikan keli. Produk ini sesuai bagi mereka yang melancong dalam dan luar negara.

“Ia kerana produk ini boleh dimakan begitu saja. Untuk menambahkan selera hidangan, ia boleh dipanaskan terlebih dahulu,” katanya.

Faizah berkata, ada enam jenis sos antaranya sos cili pedas, lada hitam, cendawan, tomato, cili betik dan cili nanas yang pasti menambah selera hida­ngan.

“Produk sejuk beku berasaskan ayam pula ialah sate goreng ayam, ayam goreng, ayam popcorn, jumbo sosej dan nugget ayam tempura yang mendapat permintaan tinggi.

“Produk ini dijamin halal, berkualiti dan keluaran Bumiputera di bawah NAFAS,” katanya.

Katanya, ayam super Peladang adalah ayam tanpa isi perut, kaki dan kepala serta dibekukan untuk tahan lama bagi tempoh sekurang-kurangnya setahun.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi NAFAS di talian 03-61441200 atau melayari laman web di www.nafas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 5:55 AM