Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Ratu dangdut, Amelina menggamatkan lebih 5,000 penonton dalam konsert sempena Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, Sabtu lalu.

Amelina yang mendendangkan dua lagu popularnya iaitu Semakin Rindu Semakin Asyik, Rindu dan lagu terbaru Cinta Harus Seksi juga mencuri tumpuan apabila persembahannya turut diiringi penonton ‘bergelek’ bersamanya di atas pentas.

Kemunculan penonton yang dikenali sebagai Abang Ali nyata menggamatkan suasana. Dengan mengenakan bandana di kepala, berjanggut panjang selain berpakaian singlet merah jambu, jean dan but, penampilan Abang Ali boleh dikatakan agak ‘brutal’, tetapi ‘sporting’ bergelek dengan Amelina menerusi lagu Rindu.

Nampaknya Abang Ali berjaya ‘mencuri’ populariti Amelina pada malam itu.

Amelina ketika ditemui berkata, pada mulanya penonton seperti malu-malu, tetapi apabila diajak semuanya nampak seronok semasa dia membuat persembahan.

“Abang Ali juga sangat ‘sporting’ dan bergelek bersama saya. Ini pertama kali saya tampil di Muar untuk acara konsert terbuka sebegini. Terima kasih kepada Harian Metro kerana kerap memberi peluang kepada saya untuk terlibat sama dan memberi sokongan.

“Kalau ada peminat yang belum cukup mengenali saya, ini juga menjadi peluang untuk mendekati mereka,” katanya

Tambahnya, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan daripada golongan muda sehebat itu.

“Rata-rata yang saya nampak adalah golongan muda dan lebih menarik lagi, mereka turut bersama-sama menyanyikan lagu Rindu walaupun kebanyakan daripada mereka belum lahir ketika zaman kegemilangan lagu itu,” katanya.

Selain konsert, pengunjung sudah mula membanjiri tapak konsert bagi menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya gerai jualan barangan eksklusif Harian Metro dan produk Yeo’s sejak jam 4 petang.

Terdahulu, pentas konsert sempena Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt dibuka dengan persembahan hebat Sandra yang tampil menyampaikan lagu hitnya, Hey Kau dan single terbaru berjudul Ku Tak Mahu Cinta ciptaan Ammar Habir daripada Drama Band.

“Ini kali pertama saya membuat persembahan di Muar. Nampaknya lagu saya juga dikenali di sini dan bersyukur kerana diterima baik,” katanya.

Kehangatan konsert diteruskan dengan persembahan Indah Ruhaila dengan lagu Bila Larut Malam dan single hitnya, Percayalah.

Indah berkata, dia teruja dengan persembahan di konsert itu sekali gus gembira kerana dapat mengadakan persembahan di negeri kelahirannya.

“Orang Muar ‘sporting’ cuma sedikit malu-malu nampaknya. Apa-apa pun saya sangat gembira dengan persembahan pada malam ini,” katanya.

Pentas konsert seterusnya menampilkan penyanyi baru Asfan yang muncul mempersembahkan lagu popular Semua Tentang Kita dan Alasan Untuk Bahagia bersama band Kamasastra.

Selepas beberapa tahun tidak membuat persembahan di Muar, Asfan ternyata gembira dan pada masa sama teruja untuk memperkenalkan band terbaru di bawah naungannya itu.

“Penonton di sini memang hebat. Terima kasih kepada Harian Metro kerana memberi peluang kepada saya dan Kamasastra. Ini menjadi platform terbaik untuk mereka belajar,” katanya.

Kemunculan Forteen turut mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan mereka berjaya memukau penonton dengan dua lagu iaitu Dekat Tapi Jauh dan Kita.

“Bagi kami, untuk siri jelajah sebegini mendekatkan kami dengan peminat. Peminat di Muar hari ini memang seronok sekali dan menyanyi bersama-sama kami. Itu menunjukkan sambutan yang positif,” kata One mewakili kumpulannya.

Selain persembahan artis popular, penonton turut berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah menarik daripada Yeo’s.

Antara hadiah yang dibawa pulang adalah TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, telefon pintar dan hamper.

Lokasi seterusnya untuk siri jelajah ini adalah di Padang MPK 3, Kuantan, Pahang pada 25 dan 26 Mac ini, Dataran Kipas Miri, Miri, Sarawak (15 dan 16 April) serta berakhir di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 23 dan 24 April.

Program ini turut dijayakan bersama rakan penaja termasuk Malaysia Airlines Berhad, Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 10:58 AM
AMELINA bersama Abang Ali.
ASFAN dengan lagu Semua Tentang Kita.
SANDRA makin popular dengan lagu Hey Kau.
SEBAHAGIAN penonton di konsert sempena Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro di Dataran Tanjung Emas, Muar.
PEMINAT tidak melepaskan peluang selfie dengan Indah.
Skip this ad x