RESH yang sebelum ini dikenali sebagai Reshmonu tampil dengan imej baru.
PAPERPLANE Pursuit antara artis baru yang makin dikenali.
SEBAHAGIAN penonton di Konsert Gigfairy Live.
SONAONE begitu mempesonakan di pentas.
DUET Joe dengan SonaOne turut dinantikan.
DE Fam berjaya gegarkan pentas.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Bagaikan kemenangan buat penyanyi tempatan, konsert Gigfairy Live yang berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur, Jumaat lalu membuktikan peminat masih mahu beli tiket untuk artis kita.

Mana tidaknya, yang membuat persembahan pun bukan calang-calang namanya.

Siapa tidak mengenali Joe Flizzow, SonaOne, De Fam dan Resh? Begitu juga dengan Paperplane Pursuit dan Jon & Jenn.

Yang pasti, biarpun kehadiran penonton cuma lebih 1,000, ia tidak mematahkan semangat penyanyi terbabit untuk memberikan persembahan hebat. Malah, keriuhan yang dicipta penonton sememangnya luar biasa.

Ia sekali gus mencetuskan rasa bangga sesiapa pun yang hadir malam itu kerana masih ada peminat yang menghargai artis tempatan.

Joe Flizzow yang menjadi penghibur terakhir jelas berbangga dengan sambutan konsert berkenaan.

Tampil menyanyikan lagu popularnya seperti Havoc, Baek dan Apa Khabar, penyanyi rap ini meluahkan rasa syukurnya.

“Konsert ini membuktikan artis Malaysia terbaik. Melihat barisan artis pada malam ini (Jumaat), saya rasa umpama kemenangan buat kami sebagai artis tempatan dalam terus memartabatkan industri muzik tanah air,” katanya.

Dihoskan tiga penyampai Hitz FM iaitu Arnold, RD dan Ean, pentas begitu santai dibuat mereka menjadikan acara malam itu lebih mesra.

Mereka juga hanya tampil sekali-sekala saja kerana persembahan semestinya lebih diutamakan.

Selain Joe Flizzow, beberapa artis lain jelas menjadikan konsert berkenaan lebih hangat malam itu termasuk SonaOne.

Penyanyi tampan itu ternyata antara paling dinantikan.

SonaOne tidak perlu gimik mahupun iringan penari di pentas kerana nyanyian rapnya saja sudah mampu membuatkan penonton berseronok. Apalagi seleksi lagu dipersembahkannya termasuk Firefly, Hakeleh dan No More sangat mesra di telinga.

Begitu juga dengan De Fam yang nampaknya begitu bertenaga, anggun dan ada kelas tersendiri ketika melunaskan sesi mereka. Turut mendapat jeritan gemuruh, trio berkenaan menunjukkan kehebatan tarian mereka.

Memulakan persembahan dengan lagu ‘cover version’ How Deep Is Your Love, De Fam kemudian menggegarkan pentas menerusi lagu hit mereka #Supergirls kemudian diikuti With You.

Penyanyi yang kini sudah kembali dengan jenama barunya iaitu Resh pun tidak kurang mencipta kejutan malam itu. Penyanyi berjiwa R&B berkenaan sememangnya pandai memilih lagu terbaik untuk dinyanyikan.

Memulakan persembahan dengan lagu paling hit sekarang Half The Man, Resh ternyata ada kelasnya tersendiri sebagai seorang penghibur.

Demikian juga band yang paling disegani di pasaran muzik Inggeris ketika ini iaitu Paperplane Pursuit.

Kehebatan mereka di pentas memang sukar diungkap dan dengan mudah saja mampu membuatkan penonton teruja.

Barangkali kerana vokalis mahupun muzik yang mereka persembahkan, namun paling ketara adalah tenaga disalurkan. Penonton begitu merasai setiap bait lirik lagu mereka sambil disahut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 10:43 AM