Agensi

Nairobi: Kerajaan menubuhkan sebuah skuad khas polis bagi memburu sekumpulan lelaki yang sering membogelkan wanita di khalayak ramai.

Skuad Antibogel itu yang berpangkalan di Nairobi mempunyai berpuluh-puluh anggota dan memfokuskan operasi kepada kes serangan terhadap wanita yang semakin meningkat.

Pada masa sama polis menggesa seorang wanita tampil memberi keterangan selepas klip video menunjukkan dia merayu dibebaskan ketika sekumpulan lelaki menyerangnya tersebar di media sosial.

Berdasarkan klip video berkenaan, kejadian dipercayai berlaku di dalam sebuah bas mini di bandar Githurai.

Ada sekurang-kurangnya tiga lelaki mengganggunya. Kejadian dikenal pasti berlaku di Githurai.

Tiga lelaki terbabit dilihat meraba mangsa malah seorang daripada mereka mengugut memasukkan botol ke kemaluannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Nairobi, Nicholas Kamwende berkata, pihaknya mahu menemui wanita terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya merayu wanita berkenaan datang ke pejabat saya supaya lelaki yang menyerang dan membogelkannya mendapat hukuman sewajarnya.

“Maklumat diberinya akan dirahsiakan,” katanya.

Semalam, Persatuan Perundangan Kenya memohon keizinan khas daripada pendakwa raya untuk mendakwa lelaki yang bertindak membogelkan wanita di khalayak ramai.

Pengerusinya, Eric Mutua berkata, polis Kenya perlu membentuk unit khas secepat mungkin bagi membuat rondaan di lokasi yang berisiko.

“Perbuatan tidak berperikemanusiaan membogelkan wanita di khalayak ramai semata-mata kerana berpakaian tidak sopan mesti dihentikan,” katanya.

Ratusan penunjuk perasaan memprotes di Nairobi baru-baru ini untuk membantah kejadian tiga wanita dibogelkan.

Sementara itu, seorang anggota polis turut didakwa Ahad lalu kerana melakukan kesalahan berkenaan di Nairobi.

Sementara itu, ahli parlimen wanita mengugut mengemukakan usul untuk mendakwa pihak pegawai keselamatan kerana gagal mengambil sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:06 AM