ROSBERG ungguli perlumbaan pertama GP Australia.
AFP

Melbourne: Nico Rosberg memanfaatkan permulaan perlahan juara dunia yang juga rakan sepasukan Lewis Hamilton berserta strategi tayar yang tepat untuk memenangi perlumbaan pembukaan Grand Prix Australia semalam.

Kemenangan itu bermakna, pemandu Jerman itu memenangi empat perlumbaan berturut-turut termasuk tiga pusingan terakhir musim lalu dan ke-15 sepanjang karier dengan mengatasi Hamilton lapan saat.

Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel yang pada awalnya dilihat cukup pantas, mengakhiri perlumbaan di kedudukan ketiga.

Perlumbaan semalam dipenuhi dengan insiden kemalangan terutama membabitkan juara dunia dua kali dari McLaren, Fernando Alonso yang terselamat daripada kemalangan ngeri sementara kereta Ferrari Kimi Raikkonen terbakar di hentian pit.

Mercedes kini sudah memenangi 33 perlumbaan daripada 39 perlumbaan terakhir dan kemenangan semalam memberi makna kepada Rosberg yang sentiasa memberi saingan kepada Hamilton untuk kedudukan pemandu sejak dua musim lalu.

“Strategi yang kami lakukan hari ini (semalam) amat sukar. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan serta pemilihan tayar yang tepat.

“Saingan baru saja bermula tapi ia sudah pasti memberi permulaan yang baik kepada saya. Kami perlu berwaspada dengan cabaran Ferrari,” kata Rosberg.

Pemandu Australia, Daniel Ricciardo menduduki tempat keempat bersama jentera Red Bull sementara pemandu Brazil Felipe Massa kelima bersama jentera Williams dan Romain Grosjean (Haas) keenam.

Hamilton yang sentiasa pantas pada sesi latihan bebas dan kelayakan, dilihat agak perlahan hingga membenarkan Vettel memotongnya di selekoh pertama.

“Saya pernah mengalami situasi lebih teruk pada perlumbaan pertama dan penamat ini sebenarnya adalah lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 8:22 AM