KEADAAN jerebu tebal yang dirakam di daerah Mae Sai pada pagi kelmarin.
Agensi

Chiang Rai: Kebakaran hutan dan kawasan pertanian di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar menyebabkan jerebu di wilayah utara Thailand dengan daerah Mae Sai paling terjejas teruk.

Indeks jerebu di daerah Mae Sai mencecah 215, melebihi tahap selamat pada jam 7 pagi kelmarin.

Di daerah Muang, jerebu tebal menyelubungi seluruh kawasan dengan indeks mencecah 168 lebih tinggi berbanding tahap selamat iaitu 120.

Jerebu tebal berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah pertanian termasuk pembakaran sampah di sepanjang sempadan berhampiran Mae Sai.

Komander tentera laut Thailand, Chonlathai Rattanaruang yang mengetuai kawalan di Sungai Mekong di Chiang Rai menghantar beberapa lori tangki untuk menyembur air bagi mengurangkan jerebu di daerah Chiang Saen.

Jerebu tebal menyebabkan kadar penglihatan di sungai itu terjejas teruk.

Katanya, dia akan bekerjasama dengan Myanmar bagi menasihati penduduk di kawasan sempadan supaya tidak menggunakan kaedah pembakaran untuk membersihkan tanah pertanian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 7:49 AM