Jakarta: Gabenor Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok semalam berkata, peruntukan daripada belanjawan pentadbiran bandar rantau itu belum digunakan secara optimum.

Menurut Ahok, mulai tahun depan dia akan memberi tumpuan khusus kepada perbelanjaan bagi menjalin kerjasama dengan wilayah yang bergabung dalam Mitra Praja Utama (MPU) di Jogjakarta.

“Kami sedang bingung kerana tidak tahu bagaimana mahu menghabiskan wang,” katanya ketika menghadiri pertemuan dengan wakil dari Mitra Praja Utama di Hotel Borobudur semalam.

Pertemuan itu turut dihadiri Menteri Penyelaras Perekonomian, Sofyan Djalil dan Menteri Perdagangan, Rahmat Gobel.

Anggota MPU yang hadir terdiri daripada perwakilan Jakarta, Jogjakarta, Jawa Tengah, Jawa Timur, Jawa Barat, Banten, Lampung, Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan Bali.

Menurut gabenor pertama Jakarta daripada etnik Tionghua itu, kerjasama berkenaan akan dibuat melalui penyelarasan hasil pertanian yang ketika ini dianggap tidak menguntungkan kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini penting bagi membolehkan belanjawan digunakan secara betul, atau kita akan didatangi pegawai Komisi Pembanterasan Korupsi,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:05 AM