TERTUDUH Safi Ullah Alinor (baju merah) warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru atas pertuduhan memberi rasuah RM200 kepada anggota polis 11 Mac lalu. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang juruteknik syarikat perkapalan warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menawar suapan RM200 kepada seorang pegawai polis supaya tidak menahannya,minggu lalu.

Tertuduh, Safi Ullah Alinor, 29, didakwa menawar rasuah RM200 kepada Inskpektor Ahmad Denial Ahmad Fadzil sebagai dorongan untuk tidak menangkapnya bersabit kes penipuan.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di Warung Britar, Jalan Tenang Dua di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang di sini, kira-kira 4.30 petang, 11 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Undang-undang Malaysia Akta No 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nor Fazlin Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 10:01 AM